June 29, 2010

lima puluh sembilan

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




quoting dari entri ini ;


bukanlah tinggal tetap itu
rehat bagi orang yang berakal dan berbudi
maka tinggalkanlah kampung halamanmu
dan pergilah mengembara
merantaulah








alhamdulillah, Tuhan memberi aku kekuatan untuk bermusafir seketika di bandar kecil yang aku kira sungguh aman dan permai di bahagian barat Perancis ini.


walaupun kadang-kadang mencabar dek kerana cahaya matahari yang gagah menyinar jika mahu dibandingkan tempat aku di utara yang berangin nyaman.


tiba-tiba hari ini, bandar kecil ini ditimpa titis-titis air yang turun dari celah-celahan kepulan awan yang ditindih-tindih. (rujuk surah An-Nuur, 24 : 43)


'Harun' ku (yang sejak 2 hari ini asyik jadi bahan usikan aku) memeluk lututnya dan memejam mata sedikit.


"takut." katanya.


comel. takut guruh dan kilat rupanya. hehe. lama-kelamaan, kegelisahannya reda sedikit bila dia mula bercerita zaman kanak-kanaknya. ah, hujan memang sentiasa menggamitkan memori pada perindu mudah seperti aku dan 'Harun'ku.




tak ada yang lebih tabah dari hujan bulan juni,
dirahasiakannya rintik rindunya kepada pohon berbunga itu


tak ada yang lebih bijak dari hujan bulan juni
dihapusnya jejak-jejak kakinya yang ragu-ragu di jalan itu


tak ada yg lebih arif dari hujan bulan juni
dibiarkannya yang tak terucapkan diserap akar pohon bunga itu


-Sapardi Joko Damono




kisah 'Harun'ku adalah cerita biasa. punya banyak persamaan dengan cerita kanak-kanak aku. tapi hari ini, ia menjadi sesuatu yang remarquable kerana aku baru tersedar betapa aku sudah lama tak merasa saat-saat menjadi begitu carefree.



***


satu Jumaat, 1998.


"kringgggg!"



loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan sesi petang Sekolah Rendah (Perempuan) Methodist, Klang telah tamat.


agaknya orang Malaysia memang lemah-lembut kerana kebiasaanya 10 minit selepas loceng berbunyi, barulah perkarangan sekolah dipenuhi dengan murid-murid kecil (dan kiut macam aku).



walaupun baru berusia 10 tahun, tapi waktu itu, murid tertua ialah murid-murid darjah empat. jadi, aku dan kawan-kawan HARUS berlagak macho. (ni la padahnya sekolah perempuan sahaja)


macam biasa aku berjalan dari blok paling belakang, melepasi kantin yang senyap-sunyi. paling perit bila melepasi kawasan perkumpulan sampah. laju saja langkah aku bila di situ. tak tahan bau-bau yang kurang menyenangkan. kemudian aku melepasi bulatan kecil yang aku panggil 'Taman Bulat'. aku masih ingat ada penunjuk arah yang tercatit di 4 bendera kecil dengan huruf-huruf B (Barat) , T (Timur), S (Selatan) dan U (Utara).



kadang-kadang aku menyinsing sedikit kain biru tua aku menampakkan kasut putih aku yang dicemari coklat-coklat tanah. biasalah, di penghujung minggu, kasut putih memang akan kotor.


aku kemudiannya bersusah-payah cuba berjalan di bawah jalan beratap yang kesesakan dengan murid-murid darjah 1, darjah 2 dan darjah 4. mata aku selalu liar melihat beg-beg sekolah yang entah berapa ton beratnya. tapi yang aku ingat, aku selalu cemburu sebab aku rasa beg aku tak secantik mereka. tapi yang kelakar, aku pernah berjanji dengan diri sendiri yang aku tak akan, TAK AKAN, guna beg tarik yang ada roda tu. haha. sebab aku rasa sangat poyo.


(tapi malangnye mak aku paksa guna masa aku darjah 5 sebab tak tahan tgk beg aku berat sangat. =.= )


kemudian, aku sampai ke pagar kecil. aku duduk di luar. hari jumaat, biasanya ialah hari menghabiskan duit selepas seminggu aku berusaha mengurus duit supaya hari jumaat aku mempunyai duit lebihan untuk membeli nasi ayam RM 1.50 dan yang paling penting, sementara aku menunggu ayah aku sampai, aku boleh menjilat dengan lazatnya aiskrim kon 50 sen (saiz maxi) perisa keladi, warna ungu!


bila kelihatan kelibat kereta ayah, aku akan berjalan bangga dan masuk ke dalam kereta sambil menunjuk-nunjuk aiskrim keladi di tangan. (bukannya nak bagi sikit). ayah akan tergelak kecil dan gelak ayah itu hanya kami yang tahu bagaimana. (susah nak gambarkan dalam penulisan).



***


hujung minggu (sabtu & ahad) , 1995 - 2000



hari sabtu ialah hari yang macam-macam. kalau hari cleaning mama jatuh pada hari sabtu , maka aku gelar itu ialah hari mama mengamuk.


tapi hari sabtu sentiasa menjadi hari basuh kasut sekolah.
dan hari ahad ialah hari kapur kasut sekolah.


ah kenangan. kadang-kadang aku membasuh kasut sama-sama dengan abang aku. kemudian, kami akan terkedek-kedek ke pintu pagar belakang rumah dan jemur kasut sekolah masing-masing di atas tembok putih.


semakin tua, aku semakin liat. biasanya, aku wajib mendengar bebelan mama sebelum aku bergerak untuk membasuh kasut sekolah.



***







'Harun'ku, si chimiste. bercerita tentang memorinya yang takutkan guruh sampai jatuh ketika melarikan diri ke dalam rumah. waktu itu, 'Harun'ku sedang membasuh kasut sekolahnya. aku lihat matanya yang sudah begitu merindukan keluarganya ketika menyebut tentang ayahnya yang memujuk ketika dia jatuh dengan kata-kata yang lembut. :)


haha. esok 'Harun'ku akan berangkat pulang ke rumahnya dan lusa terbang pulang ke Malaysia. dan aku masih lagi di sini. membilang hari-hari perindu aku kepada tanah air.


tak apa. esok juga aku akan meneruskan perantauan aku. kali ini, ke Timur France, insyaAllah.


moga Allah sentiasa menguatkan diri aku, tidak kira ketika seorang atau beramai. amin..

June 28, 2010

lima puluh lapan

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.







katakan pada aku : pertukaran atau semakin lenyapnya imej bendera-bendera palestina di facebook mahupun blog mahupun ym atau di mana saja itu, tidak sama sekali bermaksud kau sudah melupakan mereka, kan?


tidak kan?


ya. aku percaya akan kamu. mari saling husnuzhon.

June 27, 2010

lima puluh tujuh : Langit Masih Biru [Final]

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.






“Isad..! Isad..” Zako menggoncang-goncang bahunya. Isad membuka matanya. Entah macam mana dia boleh berangan sampai begitu sekali.


“Apa yang kita boleh buat?” tanya Zako lagi.


Jentera itu sudah mula merobohkan kedai-kedai kecil yang diarah penutupannya tidak lama dahulu. Kawasan itu akan diganti dengan pembinaan sebuah pusat membeli-belah. Perintah itu datangnya dari kerajaan pusat untuk memenuhi perangkaan Projek Urbanisasi Intensif : Pemulihan Imej.


Kawasan-kawasan rumah kos rendah seperti itu (biasanya didiami penduduk beragama islam dan orang-orang kulit hitam) menjadi target projek-projek seumpama ini. Zako mengesat peluh di dahi. Matanya bergenang melihat robohnya kedai-kedai kecil itu. Seperti melihat nasib bangsanya diragut.


Mata Isad menangkap susuk badan yang dikenalinya tidak jauh dari jentolak gergasi itu. Shoza dan bapanya berdiri tegak di situ. Kali ini Shoza tidak lagi menekan-nekan telefon bimbit seperti biasa. Tangannya asyik mengelap air matanya.


“Aku tidak tahu apa yang boleh kita buat sekarang, Zako.Tapi aku tahu apa yang perlu kita buat. Cuma ia memakan jangka masa yang panjang, Zako..”


Isad menyambung ;


“Mahu tak kau bersama dengan aku untuk misi ini, Zako?”


Zako memandang Isad dengan penuh harapan.


“Katakan, Isad.”


“Kita mesti lari.”


“Lari? Lari dari sini? Itu pengecut Isad!”


Isad memandang Zako.


“Bukan. Kita mesti lari ke hadapan. Tidak boleh merangkak lagi. Mesti lari! Mengejar masa depan kita di puncak dunia. Mengejar identiti kita yang sebenar. Supaya kita tidak lagi lumpuh. Kita mesti tegakkan Islam yang sebenar. Menjadi Ustaziatul Alam!”




TAMAT.




p/s : tajuk Langit Masih Biru dipilih yang membawa maksud ala-ala 'Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari' dari buku Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Muntalaq. Juga terinspirasi dari lagu 'Bangkitlah Negeriku' dari Shoutul Harakah.


kita masih mempunyai harapan. dengan izin Allah. :)




June 25, 2010

lima puluh enam

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.



'pandai anak ummi ni' katanya sambil mengusap-usap kepala anaknya. lalu kanak-kanak kecil itu tersenyum gembira dan bangga mendengar pujian dari umminya.




***




puji-pujian itu sungguh menyenangkan. lebih-lebih lagi sekiranya datang dari orang yang turut menyenangkan. ia boleh mendatangkan rasa cinta, menerbitkan rasa kasih & sayang malah mewujudkan rasa semangat.


puji-pujian itu manis. manis seperti gula.


tetapi kalau terlalu banyak gula, silap-silap, ia memudaratkan. mendatangkan penyakit. kencing manis atau diabetes contohnya.


hati manusia cepat tergeletek. cepat dilambung ke awangan kalau puji-pujian telah melebihi keperluan. ketika ini, puji-pujian tidak lagi menjadi pemangkin atau pembakar semangat. tetapi sedikit sebanyak telah membantutkan dan menggencatkan perjalanan kita.


terlalu banyak puji-pujian menyebabkan kita kehilangan peluang untuk saling menasihati atau saling menegur.




"hubungan yang terlalu dekat akan menyulitkan kita berkata 'tidak' kepada ikhwah. sementara hubungan yang berjarak, hanya akan menyimpan 'bom waktu' yang sewaktu-waktu dapat meledak.


oleh sebab itu, salah satu upaya pengendalian fikrah infiradhiyyah adalah menjaga dan menemukan jarak hubungan yang ideal ; tidak terlalu dekat hingga menyulitkan hubungan dan tidak pula terlampau berjarak."


-Sudahkah Kita Tarbiyyah? -Refleksi Seorang Mutarabbi ; Bab Individualism ; Eko Novianto.




sedangkan Allah menganjurkan hamba-Nya untuk saling mengingati dan berpesan supaya tidak berada di dalam kerugian : wa tawa saubil haq , wa tawa saubil sobr.


situasi akan bertambah-tambah buruk tatkala kita disajikan puji-pujian yang melampau apabila kita merasa kecukupan dan cepat puas hati. lebih-lebih lagi, berada di atas jalan da'ie, tugas kita adalah sebagai penyampai peringatan. apakah kita merasa kita sudah cukup baik?


suatu hari Aisyah r.a. ditanya,


"Bilakah saya mengetahui saya telah berbuat baik?" jawab Aisyah, "Pabila kamu merasa belum baik." lalu ditanya lagi, "Bilakah saya mengetahui saya berlaku buruk?" jawab Aisyah "Jika kamu merasa kamu SUDAH baik."


bacaan tambahan :

http://halaqahborneo.blogspot.com/2010/06/jangan-pernah-terlena-dengan-statusmu.html



na'udzubillah.. na'udzubillah.. wallahualam.



June 24, 2010

lima puluh lima : memujuk hati untuk bersabar.

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.



"Dan manusia (seringkali) berdo'a untuk kejahatan sebagaimana (biasanya) dia berdo'a untuk kebaikan. Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa." Al-Isra' [17 : 11]


manusia memang sifatnya tergesa-gesa. pantang berusaha hari ini, esok sudah mahu lihat hasilnya. macam doa.


untung nasib, kalau masih tidak muncul sebarang dua tiga hari apa-apa hasil, pantas, hati-hati kita cepat kecewa.


'doa aku tak termakbul. aku jahat sangat kot.'


hai kawan-kawan. hati-hati, jangan tersilap kata. ini bicara antara kita dengan Tuhan. kenapa mudah sungguh su'uzon (berburuk sangka) sama Ar-Rahman & Ar-Rahim?


ambil janji Tuhan ini : SEMUA doa kita akan tertunai. mungkin caranya saja yang berlainan. tapi tidak kira dari mana jua sisi bentuknya, aku hanya melihat kebaikan dan keuntungan.


jadi kawan, sekiranya doamu tak terbit-terbit hujungnya, yakinlah, Allah menunaikan dalam tiga cara :


1/ sama ada doa kita dimakbulkan terus serta-merta


2/ sama ada doa kita dimakbulkan di akhirat sana


3/ sama ada doa kita diganti dengan sesuatu yang lain tapi sama baiknya


asalkan kau menadah tangan dengan menyertakan hati yang ikhlas, lalu membisikkan doa lewat sujud-sujudmu atau hujung solatmu mahupun bisikan hati sekilas lalu!


dan TIDAK ADA SATU pun doa kita TIDAK termakbul. MasyaAllah, masih butakah hati kita akan kasih sayang-Nya yang melimpah ruah?


insyaAllah, penantian dan pengharapan aku macam ada nampak sinarnya. hanya perlu sabar. sikit lagi, ya. :)





*rujukan hadis


Seperti yang disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith Abi Sa`id al-Khudri, maksudnya:


“Tidak ada seorang muslim pun yang berdo'a dengan sesuatu do'a yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya.”


Kata al-Imam al-Syaukani dalam Tuhfah az-Zakirin : Hadith ini riwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la, kata al-Munziri: Sanadnya sahih (m.s. 65, cetakan. Lubnan)




wallahualam.

June 22, 2010

lima puluh empat : dinamika

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.





Dinamika adalah kawan akrab perjuangan; maju dan mundur, naik dan turun, juga diam dan berteriak, peran yang hanya tinggal menunggu saat penggunaan. Berteriak ketika harus berteriak dan diam ketika harus diam. Itulah dinamika. Tak semua dari kita yang bisa mengikuti dinamika. Kerana, tak mudah untuk diam ketika nafsu mengajak untuk berteriak sekeras-kerasnya dan sulit untuk maju ketika kita tak ingin melakukannya. Tak ada perjuangan yang tak tertampar dinamika. Perjuangan tanpa dinamika adalah keangkuhan, karena keangkuhan memang tidak memerlukan dinamika.


Lalu sudahkah kita tarbiyah? Sudah tepatkah kita memaknai dinamika? Atau kitakah sang pemimpi itu?



-'Sudahkah Kita Tarbiyah? -Refleksi Seorang Mutarabbi' , Eko Novianto.

June 21, 2010

lima puluh tiga : Langit Masih Biru [Part IV]

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




extrait part III


“Astargfirullah.. Isad. Berhentilah sebelum syaitan lebih lagi melunyaikan hati kita.” Balas Ashikin tegas.


“Maaf.” Muka Isad berubah merah.



Masing-masing membisu.






“Di sini memang kawasan perumahan orang Islam ya?” Ashikin bertanya, memecahkan kesunyian. Isad mengangguk-angguk.


“Orang panggil ‘Arabic Centre’. Kebanyakannya adalah orang Moroco, Algeria dan Tunisia. Ada juga daripada negara-negara Afrika. Tapi tidak ramai. Mereka banyak berkumpul di Quartier St. Catherine, lepas terowong depan sana tu.Tidak jauh pun.”


Ashikin mengangguk-angguk. Sekonyong-konyong, Ashikin teringat kepada kota kapital Perancis.


“Sama saja di Paris kan?”


“Apa yang sama ?” Tanya Isad.


“Keadaannya di sini. Setiap bangsa bertumpu di satu-satu kawasan. Contohnya, secara amnya, di kawasan Place d’Italie, itu quartier orang-orang Cina. Di Momantre pula adalah kawasan kebanyakan orang beragama Islam. Manakala di area Gare du Nord, ialah kubu-kubu orang India. Bawah sikit dekat-dekat dengan St Lazare, iaitu Richelieu dan Grand Boulevards pula, ialah kawasan orang berkulit hitam.” Ashikin melemparkan pandangannya ke luar rumah.


Kelihatan Shoza, siap berselendang kuning, sedang menanggalkan sandalnya.


“Tapi keadaan hodoh berpuak-puak Paris itu dikaburi dengan imej ‘perfect’ dan ‘grand’ oleh si besi yang berdiri tegak di Trocadéro itu. Eiffel Tower.” Ashikin menyambung ulasannya.


“Kau dah ronda satu Paris ya?” Usik Isad. Ashikin senyum kecil. Nampak kepahitan di sebaliknya.


Inilah istimewanya gadis bernama Ashikin di mata Isad. Dia senang berbual dengan Ashikin kerana perbualan mereka sedikit ‘luar biasa’ daripada perbualan-perbualan biasa.


“Ashikin, memang begitulah, ragamnya hidup di bawah kerajaan yang keliru menegakkan tiga prinsip.” Kata Isad.


“Maksud kau?” Ashikin kurang faham dengan pernyataan Isad.


“Tiga panji besar yang diangkat : egalité, fraternité, liberté. Entah di mana aplikasinya, aku tidak nampak. Hanya gah ditulis tapi bukan untuk dilaksana secara total.” Luah Isad. Ashikin mengangkat dagunya sedikit tanda mengerti.


“Betul. Tapi, aku tidak terlalu tahu tentang itu. Tapi kau, ya. Kerana hidupmu di negara ini. Tapi kita jangan lupa satu hakikat...” Ashikin menarik nafas panjang dan menyambung ;



“Kita dijajah luar dan dalam, Isad.” Kata Ashikin.


Kali ini, Isad pula yang bingung. Dia merenung Ashikin memohon penjelasan.


“Aku tidak perlu terang panjang lebar. Umat Islam itu sendiri punya konflik identiti. Kita masih berbalah dan berpuak-puak mengikut bangsa. Kita sendiri selesa berada di tampuk-tampuk jahiliyah kerana kita sudah terlalu lama ditipu.”



Isad tampak tidak puas hati.


“Apa bukti kau? Islam hari ini masih utuh. Lihat bagaimana umat Islam melata di ceruk dunia. Kita berada di setiap penjuru, Ashikin!”


“Kuantiti tidak ada guna jika tidak disekalikan dengan kualiti. Kita tetap kalah dalam Perang Hunain padahal bilangan kita ramai. Kau lupa pada Sirah?” Ashikin menjawab tegas. Hujah akan jadi kuat jika berpandukan Al-Quran, Hadis, Sunnah dan Sirah.


Kali ini Isad memeluk tubuhnya. Masih tidak puas hati.


“Kau mahu bukti? Nah, aku bagikan bukti yang mungkin akan buat kau terasa hati. Katakan kepada aku, ada berapa masjid di kawasan ini dan masjid mana yang selalu kau kunjungi?”


“Aku selalu mengunjungi masjid di Jalan Lorenzo sana.” Kata Isad.


“Kenapa tidak masjid di hadapan rumah kau ni saja? Bukankah lebih dekat?” Tanya Ashikin.


“Kerana masjid di depan ni disebut-sebut sebagai Masjid Turki dan Masjid Lorenzo itu disebut-sebut sebagai Masjid Marocco. Kan?” Tanya Ashikin lagi.


Wajah ketat Isad tiba-tiba berubah.


“Maafkan aku kalau kau terluka dengan kata-kata aku, Isad. Tapi dimana-mana pun sama saja. Di Malaysia juga ada puak-puaknya dan masalah-masalah kami yang tersendiri.”


“Hermm..” Isad turut mengeluh. Lidahnya kelu untuk membalas kata-kata Ashikin.


“Tak apa, Ashikin. Itu memang hakikatnya.” Sambung Isad.


“Aku yang bercakap ini pun masih banyak kekurangannya.” Balas Ashikin.


Sekali lagi keadaan tegang. Hanya kedengaran gurau-senda golongan wanita di bahagian kanan ruang tamu rumah pangsa ini.


“Kita akan sentiasa dipijak, Isad. Selagi kita masih lumpuh, Isad. Selagi itu.”




To be continued..

June 18, 2010

lima puluh dua

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.





biasanya yang ditinggalkan lagi sedih dari yang meninggalkan.













mungkin aku terlalu sedih kerana hanya mereka yang mampu bertahan dengan perangai aku tanpa perlu bercakap belakang-belakang and without any judgement. sentiasa husnuzhon.



ah. hati berlubang-lubang. :(
















“Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan, mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada’, tetapi para nabi dan syuhada’ mencemburui mereka, tempat mereka di sisi Allah s.w.t. Kata para sahabat, khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda: “Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah, bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan. Demi Allah, di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya. Ketika manusia takut, mereka tidak takut. Ketika manusia bersedih, mereka tidak bersedih. Dan mereka berkata, sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih.”-Hadith Abu Daud-

June 16, 2010

lima puluh satu

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.


blog aku semakin bosan. mungkin kerana aku ni membosankan. eh. bukan. mungkin kerana aku sendiri hilang mood untuk menulis apa-apa.


itu sebab blog aku diisi dengan koleksi cerpen yang aku karang dulu-dulu dan disimpan sebagai draft. itu pun belum berpenamat. itu sebab, aku letak poll di sidebar dan chatbox. kalau ramai yang baca, mana tahu semangat aku naik utk menghabiskan sisa cerpen aku yang tergantung-gantung.


hurmmmm...


hari ni sudah 16 jun. lagi 10 hari saja lagi, kita akan memasuki musim panas secara official. pelajar Malaysia sudah semakin hilang di tingkap YM atau sudah semakin sunyi daripada facebook, mahupun blog.


ini fenomena biasa. kita memang sentiasa kepupusan internet di Malaysia. bukan Malaysia kuno atau apa, tapi memang kami tak ada kemudahan teknologi yang namanya komputer di kebanyakan rumah. ya, aku kata kebanyakan. kalau kau ada, ada lah.


tapi aku, tak ada. kalau ada pun, aku masih perlu menggunakan dial-up connexion internet. pfftttt. dulu-dulu, ada lah juga streamyx, tapi itu pun di rumah lama (abang aku yang duduk) di Klang. aku tinggal di nilai.


tapi kau tahulah, adik perempuan nak pinjam komputer abangnya, kau fikir boleh berlama-lama ke?


tapi dengar-dengar, sejak abang aku kerja, dia pun macam dah tak guna sangat komputer.


hurmmm...


tengok, aku tulis apa ni?


=.=


aku tak tau apa khabar Kak Lynn. Kak Lynn ialah seorang pembaca blog aku yang katanya perlu ke sini untuk satu exhibition di kota Paris.


maaf ya Kak Lynn, i didnt realize that time passed by. tengok-tengok dah 16 Jun. tak sempat nak kasi guide (pdf) Paris yang aku buat sendiri khas utk orang-orang yang visit Paris. (sape nak, boleh cakap ye. kalau aku free, aku boleh jadik guide. tapi kena belanja aku nasik briyani di Gare du Nord.)


Kak Lynn ada lagi ke kat Paris tu?


hurmmmmmm...


tadi aku tonton satu iklan di TV. makin mengarut program-program di TV. kalau bukan sebab aku nak tengok 'Qui veut prend sa place' dan berita TF1, TV ni mesti aku dah lama letak tepi. (masuk dalam kotak contohnya.)


berbalik pada topik. ya, semakin panas, semakin mengarut.


orang-orang hiburan terutamanya sekarang sedang macam cacing kepanasan menganjur sana-sini konsert-konsert. orang-orang berniaga pula, tak lama lagi sibuk mempromosi summer sale.


apa yang mengarut?


entah, aku rasa mengarut lah untuk aku. sebab orang-orang ini meraikan 'kedatangan' matahari yang akan duduk lama dalam satu hari. macamlah sebelum ni tak ada matahari. mungkin aku rasa mengarut juga, kerana dalam kepala aku membayangkan orang Malaysia menyambut 'kedatangan' matahari yang ada sepanjang tahun.


maka, makin sibuklah orang-orang hiburan di Malaysia sepanjang tahun. eh, macam make sense pulak. bukan sekarang macam tu ke?


hurmmmm.......


mungkin aku rasa mengarut jugak, sebab summer sale sangat diskriminasi kepada wanita macam aku. haha. kau jual baju seksi. tak berlengan contohnya. kalau aku pakai, kena pakai dua lapis ++.


=.=


apa-apa pun, point aku satu, kedatangan summer ni memang sungguh-sungguh mencabar. aku pernah stay sekali (tak balik Malaysia). godaan syaitan memang tinggi dan begitu mudah iman ditingkah, tewas lalu terkulai.


bahaya bahaya.


tahun ni aku 'terpaksa' balik. haish. kerana mulut badan binasa. lain kali jangan ajak-ajak orang datang kalau sebenarnya kau tak ada plan nak balik.(biasanya keinginan aku tak balik ialah atas reason kukuh : kena pindah bandar.)


hurmmmmm...


hurmmmm je la aku dari tadi.


=.=



p/s : http://fanramli2.blogspot.com/

June 12, 2010

lima puluh : Langit Masih Biru [Part III]

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.









Gadis manis itu ditenung lama dari celah-celah keramaian dalam rumah kecilnya di rumah pangsa itu. Isad ikut sama ketawa bila semua orang di situ ketawa, padahal sikit pun dia tidak menumpukan perhatian kepada perbualan yang berlangsung.


Ashikin membetulkan lipatan tudungnya. Tangannya cepat-cepat mencari keronsang lebih di dalam dompetnya. Tudungnya yang dipinkan ke bawah rasa seperti memendek dek kerana tenungan dalam Isad. Ashikin membetulkan duduknya. Ditarik pula baju kurung hijau supaya kelihatan lebih ‘tertutup’. Ah, Isad, tundukkanlah pandanganmu! Aku tidak senang!


“Ehem.. Ashikin.” Ashikin mengangkat mukanya. Isad sudah duduk di kerusi menghadapnya. Nasib baik ada meja yang memisahkan mereka.


“Dah rasa kuih ni?” Isad menunjuk pinggan yang berisi kuih bersegi-segi dan kembung-kembung. Dalamnya berisi campuran daging hancur dan beberapa rempah. Rasanya enak dan pedas sedikit.


“Sudah. Aku dah belajar pun macam mana nak buat kuih dari ibu kau tadi.” Balas Ashikin.


“Pelik.”


“Apa yang pelik?” Tanya Ashikin.


“Malam ini kau tiba-tiba jadi bukan Ashikin!” kata Isad.


“Apa maksudnya? Pada kau, aku ni sebenarnya macam mana?” Ashikin hairan.


“Ashikin itu orangnya lancar berkata-kata dan tidak kelu. Fikirannya kritis dan tajam. Dari luaran, kelihatan amat sukar didekati. Malam ini, kau berbeza sekali. Nampak lebih.. ”


“Lebih apa ?” Laju Ashikin bertanya.


“Nampak lebih pemalu. In a good way. Dan menawan.”


“Astargfirullah.. Isad. Berhentilah sebelum syaitan lebih lagi melunyaikan hati kita.” Balas Ashikin tegas.


“Maaf.” Muka Isad berubah merah.


Masing-masing membisu.



to be continued...

June 11, 2010

empat puluh sembilan : haru-biru

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




"kau tengah buat tu pe weh?" Radzi menepuk belakang Saiful.


"kusss semangat. bagi salam dulu wehh!" Saiful berang. tangannya masih ligat menggunting.


"okay okay.. sorry lah." Radzi mengangkat kedua tangannya tanda mengalah.


"kau tak nampak ke, aku tengah buat poster ni. nak buat bendera. jap lagi kitorang nak berkumpul dekat stadium Shah Alam tu!"


'wau semangatnya kawan aku ni. tak sangka dia pun ambil berat pasal masalah dunia.' kata Radzi di dalam hatinya. Radzi termalu sekejap.


"mana gam yang aku mintak kau belikan tu?" Saiful bertanya dengan semangat.


Radzi menghulur gam kepada rakannya, Saiful.


di luar tingkap, Radzi melihat tempat parking kereta kolej kediaman Astana 2 sudah kosong. kelihatan berbelas-belas pelajar lelaki sedang duduk berkumpul sambil di dahi diikat kain berwarna-warna hijau putih hitam merah. ada warna biru kuning sedikit, Radzi kurang jelas. mungkin tulisan mengukir kata 'jihad jihad palestina'.


Radzi senyum lebar. gembira rasa hati melihat kebangkitan dunia tentang isu palestin.


"okay, Radzi! dah siap dah bendera aku ni! cantik kan? ko nak ikut aku tak? ada skrin besar malam ni, siaran langsung!" kata Saiful berkobar-kobar sambil menunjukkan bendera buatannya.


senyum Radzi tiba-tiba semakin mengendur. selang 2 minit, Saiful terpinga-pinga melihat Radzi yang tiba-tiba bangkit melulu meninggalkan biliknya.








p/s : selamat bersorak-sorai diiringi tangisan di tebing barat sana.

June 10, 2010

empat puluh lapan : beli McDonald hari-hari.

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.


INI SAYA COPY PASTE. maaf, berwarna warni sikit. rasa macam nak highlight semua je. =.=






Sekadar melihat dari sudut yang berbeza. Bukan sengaja atau saja-saja untuk mencipta kelainan, tetapi sedar bahawa setiap kita ada titik buta (blind spot) masing-masing. Dan perbezaan bukan semestinya satu pertentangan, ia hanya satu fitrah – manusia sentiasa unik.


Ya, dari dimensi inilah saya melihat demonstrasi anti-Yahudi yang begitu marak sekarang. Sejak sama-sama solat hajat di surau untuk ahli kariah kami yang turut berada di atas kapal misi bantuan yang diserang Israel itu, saya terus berfikir.


Rasa marah, kecewa tetapi terus mengharap silih berganti dalam diri, yang saya pasti turut dirasai oleh kita bersama. Palestin bukan soal ‘mereka’ tetapi soal ‘kita’.


Dan hasil berfikir itu saya tumpahkan dalam sebuah artikel yang sengaja saya imiginasikan dalam bentuk dialog. Ikutilah dialog yang saya nukilkan selepas Subuh pagi tadi : MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI!



***


Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.


"Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional."


Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.


"Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang."


Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.


"Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk."


Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, "saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi."


"Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni."


"Kenapa Pak Cik?"


"Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni."


"Pak Cik hisap rokok apa?" saya mula teruja untuk berbual.


"Masih Winston. Dah sebati sejak dulu."


"Winston from America?" bisik saya perlahan.


Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.


"Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?" kilasnya mengalih arah perbualan.


"Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu," tegas saya.


"Apa dia?"


"Solat Subuh berjemaah."


"Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat." Muka pak Cik itu mula memerah.


Tangannya mula digenggam.


"Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati."


"Kita mesti sanggup memikul senjata."


"Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh."


"Saya tak faham."


"Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka."


"Apa yang menyakitkan mereka?"


"Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri."


"Jadi?"


"Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain."


Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cik tersebut dengan senyuman.


"Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?"


"Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan lupa, membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!"


"Awak sindir saya?"


"Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak."


"Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!"


Lagi-lagi ke situ fikirnya.


"Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka."


"Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?"


"Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?"


"Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam."


"Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam."


"Contoh?"


"Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis."


Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, "mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?"


"Ketiga-tiga isme itu sama."


"Sama?"


"Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… Zionis Yahudi!"


"Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?"


Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.


"Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’."


"Misalnya?"


"Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran."


"Lagi?"


"Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!"


"lagi?"


"Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood."


"Idola Amerika?"


"Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah."


Pak Cik itu batuk-batuk.


Saya urut belakangnya.


"Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?" kata saya seakan-akan merayu.


"Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin."


"Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci."


"Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari."


"Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat?"


"Eh, kami yang demonstrasi semua solat…"


"Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?"


Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?


Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!


Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:


"Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka." [2:120]


Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?


Wallahu'alam.

June 9, 2010

empat puluh tujuh : recycle

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




recycling selalunya bagus. tapi recycle emosi mahu perasaan adalah sesuatu yang janggal. malah kadang-kadang aku terjengkel sendiri. kerana kau bisa tenggelam dengan sesuatu yang lama. tak ada kemajuan atau pembaikan.


aku bercakap secara metafora. tentu saja.


astargfirullah.. hanya Tuhan yang tahu apa yang tidak kena dengan aku.

June 6, 2010

empat puluh enam

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




sedar atau tidak, selama ini, kebanyakan cerita dunia, lagi-lagi yang berkaitan dengan palestin, berita yang kita dengar, mesti datang dari sumber kedua atau ketiga. atau entah-entah yang terakhir. bila diterjemah bahasa, tentulah tidak sama nilainya mendengar dari sumber original.


itu, itu kekurangan kita yang berada di kepulauan Asia. dan ditambah, apabila media-media tidak telus, dikawal Amerika yang dicatur Israel Zionis jahanam. so, what can you expect from those breaking news? truth? or half-truth? or lies?



kali ini, kau perlu berasa beruntung. Allah memberi peluang, yang terlibat dalam peristiwa pembangkitan ini, melibatkan warganegara malaysia.


nah, lebih baik lihat video rakaman, sesi perkongsian aktivis malaysia dengan pelajar² malaysia di jordan, sekarang. apa lagi yang kau malas-malaskan, agaknya. video ini, pertuturannya dalam bahasa Melayu, bahasa ibunda kita. kualitinya tip top. high quality. jelas dan terang. apa lagi alasan kau utk tidak mendengar?


rebutlah peluang ni, kawan. sebelum sekejap lagi, israel zionis jahanam mengarahkan produksi YouTube mengharamkan penayangan rakaman ini.


peduli lah, kawan. jangan malas. kemudian, jangan kaku. lahirkanlah melalui amalan kamu. jangan perasan, palestin tidak menuntut tangisan engkau, tetapi kebangkitanmu.










saya tepuk saya peluk dia, saya kata, saya ingat awak yang meninggal. dia kata, alangkah baiknya kalau saya meninggal. satu suasana yang sangat mengharukan. alangkah baiknya kalau saya yang meninggal.








tak ada perasaan takut apakah peluru hidup atau apa pun qadar kami, kami bersedia dan kami telah berjanji dengan keluarga kami, seandai kami tidak balik, doakan kami dan bayar hutang kami, kalau kami ada hutang. itu penting. syahid tergantung bilamana ada hutang. dan kami beritahu semangat kepada keluarga kami sebelum kami berangkat di KLIA, kematian itu adalah satu kepastian.



baru buat announcement, dia kata, please all volunteers go to cabin, sit down, read Qur'an and do'a. bila saya dengar je, kami pun terus duduk.



yakinlah perjuangan itu satu kebenaran.










apakah sahabat-sahabat sekalian tidak membaca dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah? kenapa Rasulullah s.a.w sanggup membawa sahabat-sahabatnya dalam keadaan berihram masuk ke mekah sedangkan itu sangat bahaya?

kerana Rasulullah nak tunjukkan supaya seluruh semenanjung tanah arab menyaksikan bagaimana tak senonohnya pemimpin-pemimpin Quraish dan bila diminta balik, Rasulullah balik dan buka pakaian dan bayar dam.

ini adalah merupakan satu sirah yang kita jelmakan balik dalam perjuangan hari ini.






wallahualam. wallahualam. astargfirullah.. astargfirullah.. Allahuakbar!

June 3, 2010

empat puluh lima : Langit Masih Biru [Part II]

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.









“Shoza, bagi aku rokok Boro-Boro sekotak!” Isad, remaja 19 tahun itu meminta pada gadis di hadapannya.


Gadis itu membetul-betulkan ikatan rambutnya dan mencebik. Kejap-kejap ditenyeh-tenyeh hidungnya. Aroma jeruk-jeruk terutamanya buah zaitun menyelubungi kedai runcit Salha kepunyaan bapanya.


“Mengada-ngada. Kau nak apa? Cepatlah ! Jangan buang masa aku.” Shoza membalas, tidak mesra. Tangannya ligat menekan-nekan punat telefon bimbit LG Darlingnya.


Isad tersengih. Kedai runcit Salha mana ada rokok! Lagi pula, ‘Boro-Boro’? Mana ada! Cubaannya untuk mengusik Shoza kali ini sudah termasuk entah berapa kali. Mungkin yang ke seratus lima kali! Semuanya dibalas kaku oleh gadis ramping yang setahun tua darinya itu.


“Marah-marah nanti tak ada siapa yang hendak kahwin dengan kau. Tinggal aku je yang masih pandang kau.” Isad mengusik lagi.


“Bagi aku dua kotak kishta dan warqa.” Kata Isad


Warqa nak berapa banyak?”


“Bagi tiga paket yang 10 tu. Ibu aku mahu buat burekas. ” terang Isad.


“Banyak-banyak nak buat apa ? Ada orang datang ke ?” tanya Shoza sambil tangannya ligat memasukkan pesanan Isad ke dalam plastik.


Isad tersenyum lebar.


“Ya, ada tetamu istimewa. Dari Malaysia.” Di kepalanya sudah terbayang-bayang raut wajah seseorang yang menghantui tidur-tidur malamnya sejak sebulan yang lalu.


Shoza memandang telefonnya, kembali menekan-nekan lagi. Entah apa yang ditekan, dia sendiri tidak tahu. Konon-konon tidak kisah sedangkan dia ingin tahu lebih lanjut. Orang Malaysia? Macam mana boleh ada di sini? Isad kenal? Sampai di bawa ke rumah untuk makan sekali. Kacak tak?


“Dia perempuan tau, Shoza!” kata Isad saat melangkah keluar dari Kedai Runcit Salha. Dari ekor matanya, sempat dia melihat jari-jemari Shoza terhenti. Wajahnya ada bias-bias kerisauan. Atau cemburu ?


Isad tersengih lagi. Padan muka, jual mahal dengan aku !





To be continued..