August 30, 2010

tujuh puluh empat : Merdeka

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.



It's Malaysia's Merdeka Eve. 11:52 pm.


Aku sepatutnya berlepas ke Lapangan Terbang Stansted, London 1 jam 52 minit yang lalu dengan Air Asia. Kemudian menyambung perjalanan ke Perancis bersama EasyJet, tempat belajar ku esok hari.


Hati yang tadi sebak meninggalkan wajah-wajah yang dicintai diganti dengan jiwa yang dipaksa pujuk, dibelai supaya bersabar.


Tak perlu aku cerita tiga masalah yang dihadapi Air Asia yang menyebabkan aku terkandas di sini dan dijangka berlepas pada jam 2 pagi nanti.


Tapi pengajarannya di sini, aku rasa aku akan menggunakan servis Emirates atau Malaysia Airlines sahaja kelak.


Ya, aku memang cepat serik.


Selamat Hari Kebangsaan ke 53 dari Pintu T16, LCCT bersama


Air Asia : Now Everyone Can Fly.


Kan? Hehe.

August 29, 2010

tujuh puluh tiga :dia yang dikenang

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.



29 Ogos 1966.


Maka hari ini genap 44 tahun sudah berlalu. Hari itu hari Isnin. 29 Ogos 1966.


Pegawai penjara yang bengis memberitahunya,


"Sebelum kamu digantung, ucapkanlah dua kalimah syahadahmu."


Dan dia menjawab, "Aku bukan sahaja telah mengucapkan dua kalimah syahadah itu, malah telah melaksanakan tuntutannya."


Dan beberapa ketika kemudian, tali gantung pun menjerut, lalu syahidlah dia di bawah tahanan rejim lahanat Gamal Abd Nasir, pemerintah Mesir yang aku kira tidak waras kerana langsung tidak ada sekelumit rasa takut pada Pencipta.


Namanya Syed Qutb.


[Scheduled】

August 10, 2010

tujuh puluh dua

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.


Dalam perbincangan di Dewan Negara, seorang senator wanita yang namanya Mumtaz Ma’nawi bangkit dan membentangkan statistik serbuan PDRM di pusat-pusat hiburan yang melibatkan pembongkaran gejala seks, pelacuran, penyalahgunaan alkohol serta isu bahan mengkhayalkan yakni dadah.


Engkau tahu berapa serbuan yang telah dibuat PDRM sejak kali pertama menyerbu masuk? (pada tahun berapa aku tidak pasti)


82 347 serbuan.


Dan dikatakan, serbuan demi serbuan dibuat tetapi PDRM masih menemukan lebih banyak dan sedkit pun tidak mengurangkan aktiviti begitu.


Jadi di mana salahnya? Tidak pasal-pasal, skuad polis telah menjadi skuad untuk menyelesaikan masalah sosial. Padahal tanggungjawab polis sebetulnya adalah untuk membasmi jenayah. 82 347 serbuan ini, masa yang diperuntuk untuknya entah-entah membolehkan pihak polis menemui Sharlinie yang masih hilang. Pembaziran!


Tanggungjawab siapa untuk membanteras isu sosial? Adakah engkau fikir dengan meletakkan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencukupi? Atau meletakkannya di pundak guru-guru dan sekolah sahaja?


Aku fikir kita perlu cerlungkan fikiran kearah tanggungjawab media masa, bagaimana kita mencorak dan mentadbir penyiaran. Aku masih tidak faham bagaimana kriteria mereka sehingga teringin pula aku tahu siapa agaknya kepala di Jabatan Penapisan Filem. Penyiaran pula bukan hanya perlu menitikberatkan kepada remaja, tapi perlu pula kita sasarkan kepada golongan ibu bapa juga. Ibu bapa pun kadang-kadang, tidak terlalu pintar mendidik anak.


Kata Senator itu lagi,


‘Malaysia sedang asyik memajukan diri dari sisi material dan fizikal padahal gejala sosial juga meningkat dan berada di tahap membimbangkan.’


Ah, aku rasa macam mahu saja aku salin bulat-bulat laporan berita dalam akhbar kecil itu di sini. Terlalu bersetuju aku!


Tapi yalah, cakap aku ni hanya tinggal di blog saja. Pemerintah sedang sibuk dengan urusan lain seperti menstabilkan ’ekonomi’ (atau aku panggil ’politik’) sehingga terlupa, budak-budak yang rosak itu adalah pelapis.


Oh ya, aku dengar lagi, pakar ekonomi kata Malaysia bakal muflis tahun 2019. Entah ke mana-mana peruntukan yang diberi.


Jadi sekarang, adakah engkau masih fikir Malaysia itu makmur negaranya tanpa masalah?


Berbuatlah kalian sesuka hati di atas muka bumi. Jangan sampai bumi merajuk lalu membaham kita, umat manusia yang tidak sedar diri, hingga ke perutnya dengan kehendak Tuhan.


Nauzubillah.




【Scheduled】



August 8, 2010

tujuh puluh satu : Ramadhan Suram Di Sana

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.



Mei 1986


"Aku tak tahan lagi hidup macam ni." Anurya mengeluh. Jari-jemarinya yang runcing meragut-ragut helaian rumput di puncak bukit kecil di belakang rumahnya itu.


Pembacaan Sherifa terhenti. Dia membetul-betulkan selendangnya yang hampir terlucut sebelum menoleh kepada Anurya di sebelahnya.


Angin Mediterranean berpuput lembut di atas puncak itu. Dua sekawan itu ’melarikan diri’ sebentar ke situ kerana tertekan dan terkejut dengan rancangan televisyen yang mereka saksikan tadi.


Bagaimana mungkin, dalam bulan yang penuh berkat ini, dalam bulan Ramadhan ini, sukahati saja stesen televisyen rasmi Tunisia menyiarkan secara langsung majlis makan tengahari di rumah Presiden yang menjadikan arak-arak sebagai minuman rasmi!


Gadis lingkungan 20-an sudah tidak dapat menahan amarah. Kalau bukan kerana dia sedang berpuasa, mahu saja dia memecahkan televisyen usang di rumahnya itu. Mujur ada Sherifa sebagai teman mengadu.


"Sabarlah Anurya. Allah sedang menguji hambanya. Jangan gopoh." tutur Sherifa tenang.


"Tapi ini sudah terlalu.. terlalu.. melampau Sherifa! Kita diperbodoh sedemikian rupa! Pemimpin apa begitu, tidak menghormati umat Islam langsung. Kita tetap rakyat negara ini! Ah, Habib Bourqiba!"


Sherifa diam. Amarah Anurya sedang melonjak-lonjak, lebih baik dibiar mereda dahulu. Sherifa sendiri sudah terlalu geram kepada Habib Bourqiba. Nama saja ketua negara, tetapi tidak adil langsung!


"Engkau tahu cerita Khabab, Sherifa?" Tanya Anurya yang darjah kemarahannya sudah menurun.


"Sayangku puteri Anurya, Khabab itu ramai. Dua pupu aku pun namanya Khabab." Sherifa senyum manis.


"Alah, ini Khabab Al-Arats. Pembuat pedang selaku hamba kepada seorang wanita, Ummu Amar." Tambah Anurya.


"Dia kah sang guru yang ketika itu sedang mengajar Fatimah dan Sa’id mambaca Al-Quran, kemudian Umar Al-Khattab datang mengamuk itu?" tanya Sherifa mendapatkan kepastian.


"Kisah pengislaman Umar Al-Khatab. Ya, dia. Khabab yang itu." Anurya menarik nafas lega. Bercakap dengan Sherifa yang berpengetahuan tidak memerlukan dia bercerita terlalu berjela-jela.


Sherifa kali ini menutup bukunya dan memusingkan badan menghadap Anurya.


"Ceritalah!" seru Sherifa.


"Khabab, si hamba Ummu Amar. Ummu Amar itu, nama saja wanita, tetapi hatinya kasar. Terlalu membenci Khabab, kerana Khabab ialah hambanya, tentunya. Tapi lebih-lebih lagi bencinya memandangkan Khabab itu seorang muslim. Khabab se-"


Jerit-pekik para ibu dalam bahasa Arab di balik rumah menganggu konsentrasi Anurya untuk meneruskan cerita. Anurya mendengus perlahan.


"Apa sajalah ibu aku tu. Entah apa pula yang dikecohkan hari ini." Anurya mencebik.


"Mencari kita mungkin. Biasalah, petang-petang begini sepatutnya kita ni, si anak-anak dara membantu mereka menyiapkan juadah berbuka puasa." Sherifa tersengih. Anurya turut serta tersengih.


"Tapi kita boleh pula lari ke puncak ini, melepak-lepak." sambung Anurya.


"dan bercerita-cerita. Eh cepatlah sambung. Sikit sangat kau cerita." gesa Sherifa.


"Sampai mana ya aku tadi? Emmm, ya. Khabab itu selalu didera dan dizalimi oleh Ummu Amar. Lalu, Khabab tidak lagi dapat menahan seksaan Ummu Amar, lari untuk mengadu kepada Rasulullah. Waktu itu, Rasulullah sedang berehat. Bila Khabab tiba, Rasulullah pun bangun dari pembaringannya dan mendengar aduan Khabab. Oleh kerana Muhammad itu Rasul Allah, pastilah doanya didengari mudah dek Allah," Anurya menarik nafas sebelum menyambung.


"Khabab, aku tak pasti,Khabab atau sahabat lain, meminta jasa baik Rasulullah untuk berdoa kepada Tuhan agar diringankan ujian dan dugaan kepadanya. Supaya Tuhan menjadikan seksaan Ummu Amar itu kelihatan ringan saja dan tidak menyakiti." kata Anurya sambil memandang Sherifa.


"Amboi, tingginya permintaan si Khabab tu." Kata Sherifa hingga terjuling sikit matanya. Anurya tergelak kecil melihat gelagat Sherifa.


"Itulah. Engkau tahu apa reaksi Rasulullah?" tanya Anurya.


"Rasulullah yang mulia, pasti mengasihani si Khabab itu." teka Sherifa.


"Jangan lupa, Rasulullah itu juga tegas. Rasulullah menolak permintaan Khabab. Kerana dikatakan bahawa ujian-ujian yang menimpa dirinya itu hanya kecil sahaja dan belum layak untuk didoakan." jawab Anurya.


"Wahhh! Macam tu sekali ya?" Sherifa semakin mengagumi Rasulullah, nabi junjungan seluruh umat Islam itu.


Anurya mengangguk-angguk.


"Tadi kau ada menyebut tentang kisah Umar Al-Khattab itu kan?" tanya Anurya.


"Ya!" jawab Sherifa yang tidak sabar-sabar mendengar lanjutan cerita Anurya.


"Selepas pengislaman Umar Al-Khattab, Ummu Amar, selaku tuan Khabab begitu marah. Kerana Umar, seorang pemuda yang garang itu, telah masuk Islam. Maka Islam mengalami keuntungan yang berlipat ganda. Ummu Amar menyalahkan Khabab kerana Khabablah puncanya. Khabablah yang mengajar Fatimah, adik Umar hari itu. Kalau saja Khabab tidak pandai-pandai mengajar hari itu! Lalu, Ummu Amar dilanda kemarahan yang menggila. Diseretnya Khabab ke tengah panas dan dipanggangnya Khabab! Diriwayatkan, lemak Khabab mentís terlalu banyak sehingga memadamkan bara api di bawahnya!"


"Astargfirullah! Dashyatnya seksaan Ummu Amar kepada Khabab. Entah mana kelembutan wanita itu!" Sherifa mengepal kuat jari-jemarinya menahan geram.


"Waktu itulah, sahabat-sahabat merayu kepada Rasulullah supaya memohon doa kepada Allah agar diberhentikan seksaan Khabab. Rasulullah pun memohon doa. Tak lama kemudian, Ummu Amar pula diserang penyakit." Anurya menamatkan cerita.


Sekejap, keadaan sunyi seketika.


"Engkau nampak kaitannya dengan kita?" Anurya bertanya.


"Nampak! Itu sebabnya tiba-tiba engkau tadi yang marah-marah cepat saja mereda. Mungkin ujian yang kita hadapi ini masih belum cukup teruk untuk diratapi beriya-iya. Atau hendak dibandingkan dengan umat islam di negara yang mungkin... mungkin lebih teruk?" Sherifa menelan air liur untuk melafazkan ayat terakhir. Ayat itu memerlukan kudrat yang besar untuk diucapkan melihatkan keadaan tanah Tunisia yang mendiskriminasi umat islam.


"Ah, cepat-cepatlah pilihanraya negara. Aku sudah tidak sabar-sabar melantik pemimpin baru yang lebih adil!"


Sherifa tersentak. Ya juga, pilihanraya negara sudah tidak lama saja lagi. Tiba-tiba mereka macam ternampak sinar harapan.


"Aku dah agak engkau orang di sini! Balik sekarang! Amboi anak dara, mengelat ya tak mahu tolong kami siapkan berbuka!"


Cepat-cepat Anurya dan Sherifa bangun dan meninggalkan puncak bukit.


Ogos 2010


Tinggal seminggu lebih lagi, bulan Ramadhan akan menjelma. Walau bagaimana dunia berputar dengan keadaan masyarakat yang berevaluasi semacam mana sekalipun, Ramadhan tetap Ramadhan. Kewajipan untuk menunaikan berpuasa masih tertegak. Itulah Islam. Tidak pernah berubah hukumnya seperti yang dicatat dalam Al-Quran sejak beribu tahun yang lalu. Dan mengapa, engkau, masih juga mendustakan mukjizat agung nabi akhir zaman itu?


"Ibu." Panggil Yusra.


Sherifa menoleh. Anaknya Yusra, baru saja mencapai usia 19 tahun beberapa minggu yang lalu.


"Ya, sayang?" jawab Sherifa lembut.


"Ibu teringat Makcik Anurya, ya?" soal Yusra. Macam menjadi kelaziman, ibunya, setiap kali datang Ramadhan, pasti teringat rakan baiknya itu. Sudahnya, ibunya akan termenung di jendela memerhati bukit kecil di belakang rumah mereka.


Sherifa senyum dan mengangguk perlahan.


‘Anurya…’


Dua dekad sudah berlalu. Tetapi Tunisia, bumi tinggalan Ibn Khaldun ini masih begitu. Umat Islam masih ditindas. Ditindas sepenuh-penuh hati. Macam begitu jijik dan hina Islam itu!


Pilihanraya Presiden 1987 semacam memberi harapan baru untuk umat Islam untuk menukar pimpinan. Habib Bourqiba yang kurang ajar dan tidak tahu menghormati, akhirnya sudah tidak lagi menjadi Presiden. Diganti pula oleh Presiden Zein El Abidin Ben Ali.


Zein El Abidin Ben Ali. Zen El Abidin Ben Ali.


‘Betapa kami mengharap engkau mampu memimpin kami. Memulangkan keamanan kami. Kalau tidak banyak, sikit pun jadilah. Betapa kami mengharap engkau dapat melakukan sesuatu untuk mengembali dan memulihkan imej kami, imej Islam di mata dunia. Tapi nampaknya, engkau juga serupa dengan Habib Bourqiba. Tidak berguna! Sampah!’ Sherifa menggumam kata-kata itu di dalam hati.


Ah, hatinya terlalu sakit. Oleh kerana harapan yang dia dan Anurya letakkan terlalu menggunung, maka sakitnya juga sama berat bila pemimpin yang dinanti-nanti hanya ibarat mimpi indah yang tidak menjadi kenyataan.


Anurya sudah tidak mampu lagi menahan sengsara ditindas begitu.


Tatkala pihak berkuasa mengeluarkan arahan rasmi agar semua Muslimat di semua peringkat, sama ada pegawai atau kakitangan kerajaan dan swasta atau para pelajar untuk menanggalkan penutup kepala sekiranya hendak melangkah masuk ke premis-premis kerajaan seperti pejabat dan sekolah, Anurya baran seperti orang kerasukan. Hampir-hampir dia merancang untuk menembak Presiden sekiranya dia datang melawat kampung mereka.

Cepat-cepat suami Anurya membawanya dan 3 orang anaknya berhijrah keluar dari Tunisia. Itupun, proses penghijrahan itu memakan masa yang lama kerana mereka perlu mengumpul wang yang banyak.


Baru-baru ini, baru sahaja pihak berkuasa tempatan mengumumkan penafian hak untuk menyediakan kemudahan serta makanan untuk berbuka puasa dan sahur. Tempat solat, jangankan terawih, untuk solat fardhu pun tidak disediakan.


Apakah?


Sherifa, balu Mohamad Tariq, 46 tahun. Duduk termenung di tepi jendela. Seperti menanti-nanti sesuatu yang tidak pasti.


Ramadhan kali ini nampaknya berbaur suram.



-diadaptasi menjadi cerpen, daripada tulisan Zainuddin Hashim, ruangan Global, 21-24 Syaaban 1431, F14.



【Scheduled】

August 6, 2010

tujuh puluh : Perancis, Algeria & Malaysia

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.


Cerita satu


"Ni siapa ni?" tanya si Perancis kepada aku sambil jarinya menunjuk kepada kepala manusia di atas wang kertas RM1.


Waktu itu aku kira kami di lapangan terbang Charles de Gaulle, Paris.


"Ini raja. Raja di Malaysia." (aku tak tahu terjemah Sultan kepada bahasa Perancis). Aku pandang pada rakan senegara aku dan bertutur dalam Bahasa Melayu demi mendapatkan kepastian.



"Wow, orang pentingkah sampai tercetak pada wang kertas kau orang?" sambung lagi seorang yang warganegaranya Algeria. Masih di dalam bahasa Perancis.


Aku membuat muka sambil mengerutkan dahi. Bibirku dijuih ke depan sikit dan membentuk huruf U songsang ; sebagaimana lazimnya mimik muka orang Perancis.



"Emmmm... macam tak ada fungsi saja. Melainkan sebagai simbol. C’est tout." balas aku berhati-hati.


Mereka mengangguk-angguk. Si Perancis asli menyambung, "Macam di Great Britainlah kalau begitu. Ca sert à rien."


Aku melontar pandangan ke luar meneliti pesawat yang aku kira agak kecil berbanding pesawat-pesawat lain di luar lapangan.


Ca sert à rien. Ca sert à rien. Tidak berguna


Ah, terngiang-ngiang pula frasa kata budak Perancis yang seorang ini. Sampai hati aku terikut pilu bila teringat hakikat keberadaan Sultan. Katanya, lambang agama Islam. Tapi entah. Macam... Macam...


Apa kata dia tadi? Ya.


Ca sert à rien.


Aku bingkas bangun ke pintu masuk 12B. Diikuti si Perancis, si Algeria dan rakan senegaraku.


Cerita dua


Engkau tahu apa yang ada di Harujuku? Kata seorang penulis, (aku sudah lupa siapa namanya), di Harujuku, keadaanya seolah-olah seperti sebuah komik yang dengan magisnya tiba-tiba menjelmakan setiap watak dalam komik itu kepada manusia.


Komik real. Secara percuma.


Di sini, engkau akan menyaksikan satu ’bangsa’ yang ’budaya’nya begitu kontradiksi dengan bangsa Jepun yang kita kenal sebagai pembudaya lemah-lembut, begitu menghormati dan penuh sifat terpuji.


Apatah di Harujuku, engkau hanya akan melihat manusia usia pertengahan yang berpakaian warna-warni, rambut beraneka jenis yang dibolehubah dari hitam ke perang, ungu ataupun merah jambu. Kasut jangan sekali kau ukur ketinggian tapaknya kalau tidak mahu terkejut besar. Kimono sopan jarang sekali diketemu.


Entah, bukan aku yang bercerita. Ini cerita orang. Aku hendak menjejak kaki ke bumi matahari terbit itu pun belum tentu pasti walaupun dari sekolah menengah aku simpan cita-cita begitu.


"Engkau tengok siapa, Fan?" ingatan aku pada coretan Harujuku terhenti. Si Perancis yang aku pasti perutnya tidak kenyang akibat terambil lauk kari nenas ketika makan tengahari tadi.


Aku diam-diam saja sambil menggeleng kecil. Tapi bijak juga dia kerana tahu ekor mata aku masih tetap tertancap pada dua remaja KL Sentral di hadapan.


Manakan tidak menonjol kalau berpakaian luar biasa begitu. Tali pinggangnya corak petak hitam putih. Seluarnya aku tidak ingat bagaimana bentuknya. Bajunya warna hijau terang, mencolok mata. Ada corak-corak lagi warna merah jambu pekat. Belum cerita tentang rambut serta aksesori yang menghiasi seluruh badannya.


Si Perancis dan si Algeria, tidak jauh dari aku, sudah galak mengkritik. Rakan senegara aku sudah jauh menonong ke hadapan menuruni tangga bergerak automatik. Apa yang dia dengar, sedangkan aku mengharap-harap dia dapat tahu apa yang dikritik dua warga asing itu.


"Regarde-les! Ca fait vraiment.. comique!"


(terjemahan : tengok mereka! Memang sangat komik!)


Disusuli gelak halus yang pada pendengaran aku, gelak mengejek.


Adakah aku derhaka pada bangsa sekiranya aku bersetuju dengan mereka? Kerana aku umpama mengutuk bangsa sendiri? Tidak mempertahan?


"Dalam 5 tahun, aku harap mereka (sambil memandang aku dan rakan senegara) tidak jadi komik begitu!" Si Perancis atau si Algeria, aku tidak ingat siapa yang bertutur itu.


Kuala Lumpur, adakah engkau mahu menjejaki langkah Harujuku?




【Scheduled】

August 4, 2010

enam puluh sembilan

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




Hati aku ada taman.


Di ruangan sosial Facebook, aku sering terlihat frasa itu diguna orang lewat status. Biasanya dikaitkan dengan perasaan gembira kerana digembirakan rasa cinta.


Tapi hati aku ada taman bukan bersebabkan sama.


Hati aku ada taman, sebab aku lihat ayah sudah tidak gemar (atau secara ekstremnya tidak langsung) menonton berita siaran TV1, TV2 mahupun TV3. Ayah tonton berita Awani.


Walaupun aku sendiri tidak tahu menahu sangat berapa jauh ia bersifat neutral, tapi memadai untuk hati aku ada taman kerana tanggapan aku tentang media yang berat sebelah, diam-diam dikongsi bersama ayah.


Cuma kadang-kadang taman dalam hati boleh jadi neraka bila setiap kali, secara TIDAK sengaja aku menyumpah seranah dalam hati bila melihat tema berita yang tak lainnya asyik berkisar tentang buang bayi, pertamanya, kemudian tentang sumbang mahhram, gejala seks bebas, berita laris hiburan, rogol, bunuh serta culik.


Sekali-sekala lepas letih membaca, untuk mengelakkan mata aku terkatup, aku buka TV. Bukan untuk menonton, sekadar membunyi sahaja. Kecewa bila aku lihat tak ada satu pun rancangan TV yang membina atau mendidik. Terlalu merengsa aku lagi melalaikan. Sampai aku rasa macam loya. Hendak menyampaikan mesej baik-baik pun melalui hiburan seperti drama dan konsert hiburan.


Bukan aku tak mahu mengakui kebolehan drama Melayu, tapi siapa agaknya tahan kalau engkau menonton drama Melayu tatkala tangan pelakon wanita merayap-rayap bermain-main di dada tidak berbaju pelakon lelaki di atas katil.


Bersungguh-sungguh engkau hendak tunjuk adegan itu kepada masyarakat : tengok masyarakat, tengok! Ini adegan watak utama sedang curang.


(Drama Melayu, Skandal. Lakonan Jalaluddin Hassan dan Nasha Aziz.)


Macam cerita Nur Kasih, mesejnya terlalu baik. Terlalu baik sampai aku rasa sangat-sangat rugi kerana mesej baiknya itu tidak mampu sampai betul ke hati aku tatkala aku melihat Adam mengucup lembut dahi Nur. Pada realitinya kawan-kawan, si Adam itu ialah Remy Ishak. Manakala si Nur itu ialah Tiq Zakyah. Dan kedua-duanya adalah bukan muhrim!


Bagaimana benda-benda begini boleh jadi begitu normal di negara yang agama rasminya Islam? Maaf, tidak relevan apa yang aku katakan ini.


Aku ulang,


Bagaimana benda-benda begini boleh jadi begitu normal untuk pelakunya sendiri yang beragama islam dan kita sebagai penonton yang beragama islam?


Benarlah kata orang, sekali engkau pernah terlibat dengan sesuatu dosa, apabila sudah berjanji untuk tidak mengulanginya lagi, engkau akan benci akan dosa tersebut walau hanya melihat. Seperti perokok yang berhenti merokok, baunya sahaja membuat perokok itu jijik.


Malaysia macam jadi satu negara yang menakutkan. Sampai aku terdetik tidak mahu pulang lepas habis belajar kelak. Tapi cepat-cepat disedarkan, itu macam melepas tangan saja. Macam pengecut. Konon aku mahu dikelilingi yang soleh-solehah agar kemandirian bakal anak-anak aku terjaga baik. Lepas itu, merebak pemikiran begitu kepada anak-anak hingga cucu cicit. Akhirnya, tidak ada siapa pun dari keturunan aku yang berjuang mengubah negara.


Tapi wallahualam. Aku hanya bijak merencana masa depan yang cantik-cantik dan sempurna. Ketentuannya tetap pada yang Satu.




【Scheduled】

August 2, 2010

enam puluh lapan

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.





Sabtu, 31 Julai 2010


Sewaktu utusan Obama, George Mitchell tiba di Israel untuk perbincangan konflik Israel-Palestine, kononnya menganjurkan perdamaian dua wilayah itu (aku tak mahu mengaku Israel sebagai negara), rejim Zionis telah sekali lagi memalukan diri (untuk aku mereka memang tidak tahu malu) dengan menyerang Rafah, Gaza membunuh komander kanan Al-Qassam, 42 tahun.


Ya, itulah terjemahan dan definisi ’damai’ di pandangan mata Zionis.


Dan engkau menyanjung F***h kerana mahukan ’damai’ dan menyepak H***s dalam kantung esktremis pengganas tidak ada peri manusianya lagi.


Ah, kita memang lebih Amerika daripada Amerika itu sendiri. (Quoting Muhammad Ameen, Kombat 1511, Faisal Tehrani)