Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.Tajuk: Sang Waktu
Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya tempoh setahun,
tanyalah pada
penuntut yang belajar pulun
tapi gagal di akhir tahun.
Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu sebulan,
tanyalah pada
si ibu yang baru saja melahirkan
bayi tidak cukup bulan.
Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu seminggu,
tanyalah pada
orang yang sempat hidup
dari kesan bencana alam
Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu sehari,
tanyalah pada
perokok yang menghidap kanser hati
namun sabar menunggu mati
Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu sejam,
tanyalah pada
sang pencinta yang duduk lebam
tunggu kekasih tak datang-datang.
Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu seminit,
tanyalah pada
orang yang mengejar bas transit,
akhirnya tertinggal terkincit-kincit
Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu sesaat,
tanyalah pada
orang yang baru saja terselamat
dari kemalangan singkat
Andai ingin kau rasa
betapa mahalnya waktu semilisaat,
tanyalah pada,
atlit yang mati-matian berlari kuat
hanya demi sekeping pingat
Di antara paling cepat dan paling lambat
Tiada satupun kisah yang tidak padat
Biar seberapa mahal pun masa sesaat
Kita mungkin terlewat
Namun tidak bagi sang waktu.
Author : Nozawa Sensei
Source : Irfan Jani
* * *
seharusnya, aku mengakrabi masa.
dan melayannya sebaik mungkin. kerana masa sebenarnya adalah segala-galanya. tanpa masa, dunia seperti tidak cukup dan tidak lengkap. memang langsung tidak salah, malah sangat bernas tatkala kita meghurung kata;
Hormati masa.umpamakan masa itu seperti satu makhluk yang bernyawa. ia tidak pernah sekali dan tak akan mati. senantiasa hidup dan senantiasa bergerak. cuma jasadnya tiada.
masa itu ibarat tuan tanah tempat aku berpijak. bagaimana aku menghormati ketua, begitu juga seharusnya aku menghormatinya. ia sentiasa utuh, pendiriannya tidak goyah. tegas. tidak pernah hingar malahan tenang. tiada siapa atau apa pun yang mampu memperlahan atau meperlaju ritma gerakannya.
masa memang patut aku akrabi.
kerana masa telah banyak melakukan kebaikan kepada aku. masa telah mencintai aku. masa telah menantiku untuk lahir ke dunia. masa telah mengasihani aku sehingga aku masih punya peluang bernafas selama dua puluh tiga tahun. masa telah memulihkan aku dari satu kedukaan cinta. masa telah menyabarkan aku untuk menanti. masa telah menemukan aku dengan manusia-manusia ajaib yang punya hati indah.
dan aku pasti, masa pada saat ini, sedang mengajarku untuk menjadi kuat. untuk mula mempercayai diri. untuk terus mencuba memaafi diri. untuk kembali mengumpul harapan dan berlari semula mengejar cita-cita dan masa depan dambaan.
begitulah masa dan aku. baru hari ini aku perasankan, bahawa, masa, engkau adalah anugerah dari Tuhan, peneman hidupku yang sepatutnya lebih aku hargai.
sebelum engkau berhenti berdetik.
dan ketika itu, akan hanya ada
Tuhan,
aku,
dan pelakuan-pelakuanku
sewaktu bersama denganmu.
inna lillahi wa inna ilahi raaji'un.