June 21, 2010

lima puluh tiga : Langit Masih Biru [Part IV]

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




extrait part III


“Astargfirullah.. Isad. Berhentilah sebelum syaitan lebih lagi melunyaikan hati kita.” Balas Ashikin tegas.


“Maaf.” Muka Isad berubah merah.



Masing-masing membisu.






“Di sini memang kawasan perumahan orang Islam ya?” Ashikin bertanya, memecahkan kesunyian. Isad mengangguk-angguk.


“Orang panggil ‘Arabic Centre’. Kebanyakannya adalah orang Moroco, Algeria dan Tunisia. Ada juga daripada negara-negara Afrika. Tapi tidak ramai. Mereka banyak berkumpul di Quartier St. Catherine, lepas terowong depan sana tu.Tidak jauh pun.”


Ashikin mengangguk-angguk. Sekonyong-konyong, Ashikin teringat kepada kota kapital Perancis.


“Sama saja di Paris kan?”


“Apa yang sama ?” Tanya Isad.


“Keadaannya di sini. Setiap bangsa bertumpu di satu-satu kawasan. Contohnya, secara amnya, di kawasan Place d’Italie, itu quartier orang-orang Cina. Di Momantre pula adalah kawasan kebanyakan orang beragama Islam. Manakala di area Gare du Nord, ialah kubu-kubu orang India. Bawah sikit dekat-dekat dengan St Lazare, iaitu Richelieu dan Grand Boulevards pula, ialah kawasan orang berkulit hitam.” Ashikin melemparkan pandangannya ke luar rumah.


Kelihatan Shoza, siap berselendang kuning, sedang menanggalkan sandalnya.


“Tapi keadaan hodoh berpuak-puak Paris itu dikaburi dengan imej ‘perfect’ dan ‘grand’ oleh si besi yang berdiri tegak di Trocadéro itu. Eiffel Tower.” Ashikin menyambung ulasannya.


“Kau dah ronda satu Paris ya?” Usik Isad. Ashikin senyum kecil. Nampak kepahitan di sebaliknya.


Inilah istimewanya gadis bernama Ashikin di mata Isad. Dia senang berbual dengan Ashikin kerana perbualan mereka sedikit ‘luar biasa’ daripada perbualan-perbualan biasa.


“Ashikin, memang begitulah, ragamnya hidup di bawah kerajaan yang keliru menegakkan tiga prinsip.” Kata Isad.


“Maksud kau?” Ashikin kurang faham dengan pernyataan Isad.


“Tiga panji besar yang diangkat : egalité, fraternité, liberté. Entah di mana aplikasinya, aku tidak nampak. Hanya gah ditulis tapi bukan untuk dilaksana secara total.” Luah Isad. Ashikin mengangkat dagunya sedikit tanda mengerti.


“Betul. Tapi, aku tidak terlalu tahu tentang itu. Tapi kau, ya. Kerana hidupmu di negara ini. Tapi kita jangan lupa satu hakikat...” Ashikin menarik nafas panjang dan menyambung ;



“Kita dijajah luar dan dalam, Isad.” Kata Ashikin.


Kali ini, Isad pula yang bingung. Dia merenung Ashikin memohon penjelasan.


“Aku tidak perlu terang panjang lebar. Umat Islam itu sendiri punya konflik identiti. Kita masih berbalah dan berpuak-puak mengikut bangsa. Kita sendiri selesa berada di tampuk-tampuk jahiliyah kerana kita sudah terlalu lama ditipu.”



Isad tampak tidak puas hati.


“Apa bukti kau? Islam hari ini masih utuh. Lihat bagaimana umat Islam melata di ceruk dunia. Kita berada di setiap penjuru, Ashikin!”


“Kuantiti tidak ada guna jika tidak disekalikan dengan kualiti. Kita tetap kalah dalam Perang Hunain padahal bilangan kita ramai. Kau lupa pada Sirah?” Ashikin menjawab tegas. Hujah akan jadi kuat jika berpandukan Al-Quran, Hadis, Sunnah dan Sirah.


Kali ini Isad memeluk tubuhnya. Masih tidak puas hati.


“Kau mahu bukti? Nah, aku bagikan bukti yang mungkin akan buat kau terasa hati. Katakan kepada aku, ada berapa masjid di kawasan ini dan masjid mana yang selalu kau kunjungi?”


“Aku selalu mengunjungi masjid di Jalan Lorenzo sana.” Kata Isad.


“Kenapa tidak masjid di hadapan rumah kau ni saja? Bukankah lebih dekat?” Tanya Ashikin.


“Kerana masjid di depan ni disebut-sebut sebagai Masjid Turki dan Masjid Lorenzo itu disebut-sebut sebagai Masjid Marocco. Kan?” Tanya Ashikin lagi.


Wajah ketat Isad tiba-tiba berubah.


“Maafkan aku kalau kau terluka dengan kata-kata aku, Isad. Tapi dimana-mana pun sama saja. Di Malaysia juga ada puak-puaknya dan masalah-masalah kami yang tersendiri.”


“Hermm..” Isad turut mengeluh. Lidahnya kelu untuk membalas kata-kata Ashikin.


“Tak apa, Ashikin. Itu memang hakikatnya.” Sambung Isad.


“Aku yang bercakap ini pun masih banyak kekurangannya.” Balas Ashikin.


Sekali lagi keadaan tegang. Hanya kedengaran gurau-senda golongan wanita di bahagian kanan ruang tamu rumah pangsa ini.


“Kita akan sentiasa dipijak, Isad. Selagi kita masih lumpuh, Isad. Selagi itu.”




To be continued..

No comments: