May 17, 2010

empat puluh satu : Projek Pantri [Final]

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




"Encik Azman, budak mana yang Encik Azman amik tu?" Kak siti memuncungkan mulutnya.


"Eh, budak mana pulak, Puan Siti?" tanya Encik Azman yang aku agak umurnya muda 5 tahun dari ayah aku.


"Budak perempuan yang hari-hari bawak bekal untuk lunch. Habis bau makanan satu pejabat ni bila dia re-heatkan makanan dia guna microwave tu." Tambah Rozita mengapi-api.


"Iye ke ni? Saya tak bau pun?" kata Encik Azman diakhiri gelak kecil.


"Main-main plak Encik Azman ni." Senget-senget mulut Kak Siti, mencebik.


"Betullah.. setakat ni, awak berdua je yang mengadu. Orang lain tak cakap apa-apa. So, saya tak boleh nak buat apa. Lagipun, pantri tu hanya di tingkat kita. Biasalah tu, dia datang makan kat tingkat kita." terang Encik Azman.


"Budak perempuan mana pun, saya tak tau. Kamu ni.." tambah Encik Azman kemudian berlalu.


Tak sampai beberapa langkah, Encik Azman, Pengarah Projek di syarikat persendirian itu menoleh;


"Oh ya, jangan lupa petang nanti. Bos nak turun, nak umumkan sesuatu. Kamu tu jangan asyik duduk berborak saja kalau tak nak kena potong gaji!" pesan Encik Azman sambil tersenyum. Sinis! Pedas!


Kak Siti dan Rozita cepat-cepat duduk di tempat masing-masing. Potong gaji tu! Naya lah!



***




Macam biasa, aku bersiap-siap untuk turun ke tingkat bawah untuk makan. Hari ni lauk nasik goreng. Fresh. Bukan lauk lebih-lebih. Sebab Mama cuti hari ini dan dia tahu aku suka bawak bekal, pagi-pagi lagi Mama bangun buat nasi goreng. Gila. Dah 25 tahun pun, mak nak manjakan lagi.


"Udang kena besar, kan?" teka Mama. Aku senyum nampak gigi. Ye, ma. Udang besarrr punya!


"Wah, budak graduate overseas macam awak pun bawak bekal?" Tiba-tiba ada satu suara wanita menegur aku dari luar bilik pejabat. Aku tersipu-sipu. Bos besar aku tegur!


"Eh, biasa je ni Puan Faridah." Kata aku tiba-tiba jadi super wanita dan humble. hehehe.


"Tak kisah ke makan kat bawah tu? Tak de orang kacau?" Tanya Puan Faridah.


Alamak. Macam boleh baca je fikiran aku ni.


"Eh, ramah-ramah orang kat bawah Puan Faridah. Macam-macam saya jumpa! Intéressant!" Sengaja aku tekan-tekan perkatan 'macam-macam' dan menyebut perkataan Perancis.


Puan Faridah turut sama senyum. Dia macam memahami apa yang cuba aku sampaikan.


"Puan Faridah nak ikut saya makan, ke? Mak saya buat nasi goreng udang besar!" kata aku. Alamak, selamba badak je aku ni.


Puan Faridah jenguk tupperware ungu aku.


"Cukup ke tu?" tanya Puan Faridah.


"Cukup cukup!" kata aku yakin. Kalau tak cukup pun, aku cukupkan untukmu Puan Faridah. Mad'u berpotensi! Anasir tagyir!


Puan Faridah setuju untuk mengikut aku. Terkejut juga aku bila pelawaan aku diterima. Orang Malaysia yang terkenal dengan 'kelembutan' ni sebenarnya menitikberatkan juga 'darjat' mereka. Tinggi akan jadi lebih tinggi. Rendah boleh jadi tinggi dalam satu petikan jari.


Tapi Puan Faridah ni sanggup merendahkan sekejap martabatnya sebagai orang nombor satu dalam Iltizam Engineering tu!


"Kalau Puan Faridah nak tau, orang Perancis pun suka bawa bekal untuk lunch." kata aku memulakan perbualan.


"Iye?" Puan Faridah terperanjat sedikit.


"Saya banyak kali praktikal, memang majoriti bawak bekal. Taraf hidup di sana tinggi-tinggi. Memaksa rakyatnya untuk berjimat-cermat. Jurang sosial antara mereka tak terlalu kelihatan. Tak macam kita di Malaysia ni. Tapi orang-orang nombor satu macam Puan Faridah, jaranglah saya tengok bawak bekal. Hehe."


"Amboi amboi. Is this a compliment atau sindiran ni?"


"Dua-dua?" aku menduga-duga hati wanita berkaliber itu. Masakan tidak, seorang wanita menjadi pengerusi sebuah syarikat persendirian!


"Saya suka awak. Awak berani. Jujur. Negara Eiffel Tower tu kah yang mengajar awak begini?"


"Boleh jadi, Puan Faridah. Tapi, Islam yang sebenar yang mengajar saya untuk jangan takut kepada segala kemungkinan."


"Wah! Belajar agama ke di sana?" tanya Puan Faridah, semakin meminati untuk mengetahui kehidupan pelajar aku.


"Taklah. Tapi, di sanalah saya mengenal erti sebenar menjadi jati diri Islam." Aku mengunyah-ngunyah nasi goreng. Sedapnya nasi goreng mak aku takde sape boleh kalahkan! Aku menyambung,


"Hidup di tanah sekular, hamparan bumi yang mengasingkan agama dengan kehidupan, yang menyukarkan si praktikal islam, untuk solat, untuk pakai tudung, benar-benar mencabar, Puan Faridah. Umur semuda kami, dihadapkan dengan mainan politik kasar begitu, logiklah kita selalu berada di kandang tewas."


Hati aku jadi sayu. Cepat saja hati ni nak sayu-sayu. Oi oi, dah dah. Kontrol macho, Lia.


"Masa-masa macam tu Puan Faridah, kita akan terasa rinduuu sangat dengan Islam. Well, that's how I found myself today." Peh, aku cuba bercakap bahasa 'omputeh' walaupun aku tahu bahasa Inggeris aku semakin melemah kerana Perancis sedikit pun tidak mengendahkan orang-orang Britain.


Puan Faridah mengangguk-angguk.


Waktu itu, tiba-tiba Kak Siti dan Rozita muncul entah dari mana di hujung pantri.


"Eh, dari mana kamu berdua ni! Terkejut saya!" terjerit kecil Puan Faridah melihat lembaga dua itu.


"Errr.. ka.. kaa.. kami.. dekat tepi mesin minuman tin tu ta.. tadi.. Puan." jawab Kak Siti.


Eh, Kak Siti ke tu? Dulu bukan main bengis dengan aku. Bila nampak aku je, berkumat-kamit mulutnya.


"Dah kenal-kenal ke dengan Lia ni? Selalu jugak dia turun makan kat sini. Lia ni, civil engineer kita yang baru. Graduates from Paris. Sekejap lagi saya nak kenalkan pada kamu semua." kata Puan Faridah.


"Eh, bukan Paris, Puan.. Emm.. France cukuplah." aku membetulkan. Kang aku sebut nama bandar aku terbelit pulak lidah. Huhu.


Terbongkok-bongkok Kak Siti dan Rozita keluar dari pantri. Sikit pun tak pandang pada aku.



***



"Kita ada projek baru, Lia. Projek kecil. Kita bagi pada budak praktikal, Hakim tu. Apa pendapat awak?" tanya Puan Faridah.


"Boleh. Bagus tu. Boleh Hakim belajar sikit. Projek apa tu ya, Puan Faridah?"


"Projek Pantri. Kita nak besarkan Pantri tingkat bawah. Entah siapalah yang bawak trend, sekarang ni semua orang nak bawak bekal!" Puan Faridah memandang sinis pada aku. Tapi mesra!



TAMAT.



p/s : cerita ni fiksi semata-mata. tahu-tahulah. rindu Malaysia tak sabar nak habis belajar! hehehhee.

No comments: