Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.
aku tenung wanita 60-an itu. rambutnya telah memutih. begitu dekat jarak antara duduknya aku dan duduknya dia. di balik kaca matanya, aku lihat matanya penuh dengan keterujaan dan penuh nostalgia tatkala dia gigih menceritakan pengalamannya waktu dia berusia 17 tahun, mei tahun 1968 - tahun revolusi, tahun pemberontakan mahasiswa Perancis.
aku menongkat dagu, turut sama merasa keterujaannya. kadang-kadang, aku tertawa bersama yang lain mendengar pengalaman-pengalaman lucu wanita itu bersama teman-temannya merusuh berhadapan dengan pasukan polis yang siap berperisai dan bertopi keledar.
tiba-tiba, dia menepuk mejanya. 'eh, kenapa tiba-tiba saya cerita pasal zaman muda saya pula ni? oh. lari topik. revenons-nous au sujet, mes chèrs.'
20 ans, le plus bel âge de la vie?
(terjemahan : 20 tahun, umur terindah dalam kehidupan?)
karangan yang sepatutnya berteknik dan seimbang, nampaknya, malam ini, gagal menjadi adil dan tidak bias. lebih banyak hujah menidakkan daripada mengiyakan. realiti. bukan aku seorang, tapi rasa ini dikongsi sama dengan yang duduk di kanan, di kiri, malah seluruh bilik.
wanita itu menggeleng-geleng kepala.
'berhati-hati, pelajar sekalian. karangan ini harus ditulis dari pandangan mata neutral. tapi tak mengapa, malam ini, kita santai saja. apa kata kamu?'
kata kami : dalam usia muda dengan pengalaman yang dangkal, mengambil keputusan tentang sesuatu adalah satu perkara yang begitu meresahkan. masa hadapan tampak begitu mengerikan dan tidak menjanjikan. tersilap langkah hari ini, binasalah engkau keesokan hari. tanggungjawab. mungkin tidak sebanyak dan tidak sebesar mengasuh anak, tapi waktu ini, engkau mengambil tanggungjawab penuh ke atas diri sendiri. ibubapa tak lagi membantu tetapi kitalah yang membantu. keberadaan wang poket dan keinginan muda remaja (terutama dari segi material) tak nampak kesetaraannya.
wanita itu mengangguk-angguk pula. lalu, menambah :
'jujur saya katakan, generasi anda tentu punya lebih banyak kerisauan. masa depan anda tak mampu memberi kepastian. beza sekali, kerana kami, waktu dahulu, dunia masih belum diterokai sehabisnya, kamilah generasi yang akan melakukannya, maka kepastian itu terwujudkan. pekerjaan, wang, pasti akan kami dapatkan. ruang usaha dan pekerjaan tak pernah menjadi isu yang menggusarkan. ia sentiasa ada. untuk semua.'
ironi sekali, fikir aku. kesegalaan atau kelengkapan sesuatu benda rupanya tidaklah dapat menyenangkan seperti yang selalu kita jangkakan. malah sebaliknya. di tengah-tengah kelompangan, kelangkaan dan opressi, pasti ia didatangi kekuatan dan hikmah segala. kadang-kadang, semangat luar biasa.
aku masih merenung wanita itu. penuh cemburu yang membara. cemburu sama cerita-ceritanya. cemburu, zaman mudanya dimaknai dan diwarnai memori unik. hari tuanya tidak kosong, ada kisah yang boleh dia lagukan kepada keturunannya. cemburu, dia mencipta sejarah hidup tersendiri. berunsur perjuangan.
aku? bagaimana zaman mudaku bergelombang?
malang. generasiku, lahir dalam dunia yang berserba-serbi. hingga kita jadi lemah dan berorientasi kepada keseronokan semata. segala ciptaan tidak memaksudkan perjuangan sejati, cuma pembaharuan dan pembaikan. hambar sekali.
aku juga, aku juga ingin sekali menjadi mahasiswa yang memperjuangkan sesuatu. aktivis. menulis. menyebar risalah. membangkit. seperti Hamka atau Zaaba. tapi dalam medan yang bersih, tidak ada korupsi. (mustahil sekali hari ini)
ah, biarkan zaman lalu itu dengan agenda tersendirinya. hari ini, dunia telah menjadi kotor dan tiada terurus. diktator merata-rata. manusia tertindas, ada yang mempeduli, ada yang membutakan. bagaimana mencari bekalan hari akhir dan redha Ilahi, sekiranya hidupmu pun di dalam keadaan yang menyesakkan ini? di hadapanmu adalah destinasi, malangnya jalannya penuh najis. kiranya engkau menanti aku atau manusia lain yang menyamakkannya, maka engkau sedang bermimpi.
tak ada cara lain, kawan.
2 comments:
hihihi
apekah yana. ehe.
Post a Comment