Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.
Brrrbbb... bunyi vibration telefon bimbitku. aku capai dan aku baca SMS dari Ummu Talhah,
'Fan, majalah Jom! dah sampai. nak akak hantar? ada rumah petang ni?'
wah, hebat betul servis. siap ada delivery sampai ke doorstep ka? aku tersengih keseorangan. aku jengahkan kepala dari jendela dan melihat angkasa. matahari terik. lalu jariku menyentuh-nyentuh skrin telefon bimbitku. merancang pertemuan dek mengisi masa lapang. butang 'Envoyer' disentuh.
dan cutiku pun bermula dengan bersiar-siar sama si kecil dan makcik-makcik 'grenobloise'nya. walaupun gerimis terundang di celah-celah terikan matahari, alhamdulillah, tempat pertemuan ditukar kepada tempat yang lebih sesuai.




matahari terik pada permulaan pertemuan kami, tiba-tiba berubah kepada hujan yang sungguh lebat di penghujung, sehingga memaksakan kami bersempit-sempit menumpang teduh di lebihan atap deretan kedai. mujur sahaja Ummu Talhah dilengkapi payung.
begitulah kita, aku fikir. kun fayakun. sungguh, jangan tertipu dengan kemilikan kita hari ini. bahagia yang mengiringi hari ini tak semestinya berpanjangan. dalam sekelip mata, Tuhan mampu meragutnya. maka persoalannya, bagaimana menyiapkan diri menghadapi masa depan yang menggerunkan? melihat kelincahan Talhah saja sudah mengundang gusar di benakku, contohnya. mampukah menjadi ibu mithali? mendidik satu jiwa menjadi 'manusia'? itu hanya satu hal. banyak lagi tanggungjawab yang lain. seperti menjadi anak yang wajib membalas jasa mama dan ayah, atau isteri yang melengkapi suami tercinta, atau sahabat yang tidak takut menegur kesalahan sahabat.
tapi, nanti, itu semua di masa hadapan, kataku lagi. masa sekarang, saat ini, sepatutnya lebih penting. bagaimana pula aku dalam menjadi hamba Tuhan, ibadurrahman? bila setiap kalinya, sering-sering kali juga aku jatuh pada bisikan syaitan. syaitan itu tidak akan berpengaruh terhadap orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhan, pengaruhnya hanyalah terhadap orang yang menjadikannya pemimpin, kata surotul Nahl, ayat 99 dan 100.
aku merenung butir-butir hujan yang jatuh dari atap. semakin deras percikannya. aku teringat, aku mengeluh kecil di dalam hati. stokinku sudah lencun, begitu juga hujung seluarku. cepat-cepat aku istighfar, padahal baru saja aku berkongsi sana sini tentang hadis kerahmatan hujan :
Dari ‘Atha’ bin Abu Rabah r.a. katanya, dia mendengar Aisyah r.a., isteri Rasulullah SAW bercerita, "Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah Rasulullah SAW sehingga baginda maju mundur (berjalan mundar-mandir). Apabila hujan telah turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan hilang kegelisahannya. Berkata Aisyah, "Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda gelisah sebegitu rupa." Jawab baginda, "Aku khuatir kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat." (Hadis riwayat Muslim)
"hujan dah reda sikit ni. boleh kot kita lari pegi stesen tram Maison du Tourisme tu." kata kakak kecil berkaca mata, bertudung coklat, seraya mematikan lamunanku.
ah, itulah aku. di tengah-tengah alam pun boleh berfikir sampai entah ke mana.
p/s : CCMP'12 : Cuti-cuti musim panas 2012 , yahh, akan datang entri-entri tentang aktiviti-aktiviti cik penulis.
No comments:
Post a Comment