Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.
Aku tahu hari ini akan tiba. hari di mana orang-orang sekeliling di pejabat ini akan membicarakan tentang perbezaan agama, praktik dan akhirnya tentang Islam.
ritualnya, selepas makan tengahari, kami akan mengambil masa 10 ke 15 minit (mungkin untuk proses penghadaman) di bar kopi (bukan bar alkohol) sebelum kembali ke tempat masing-masing. tapi hari ini, seorang di antara kami, mencadangkan kami ke biliknya sahaja dan menawarkan diri untuk menyediakan teh dan kopi.
sedang berbual-bual, ada seorang sedang rancak bercerita selepas ditanya mengenai pengalamannya di tapak pembinaan untuk satu projek di Turkmenistan. macam-macam yang diceritakan. memandangkan antara kami, hanya dia paling berpengalaman dan pernah bekerja di tapak pembinaan. hinggalah seorang gadis Russia yang berada di antara kami bertanya :
"eh, ada yang minum arak juga kah? pourtant, mereka kan muslim?" -gadis Russia no 1.
jeng jeng jeng.
aku berdebar-debar. keadaan menjadi sedikit sukar kerana ada aku, seorang muslim yang bertudung. dan ada seorang lagi, seorang muslim juga, tapi franco-morocco (emm berima pulak), tidak bertudung.
maka bermulalah dengan debat mini antara 6 orang perempuan. (nota tambahan : semuanya masih belum berkahwin. adakah wanita yang berkerja dalam bidang construction mempunyai possibility berkahwin lambat? heh heh)
"bagi saya, mereka bukan betul-betul muslim. mereka- (percakapan dipotong)" -ini dialog perempuan yang berpengalaman di Turkmenistan.
"no. no. mereka tetap muslim. you can be a muslim, masing-masing dengan cara mereka memahami agama mereka." -gadis Perancis no 1.
"tapi dalam al-quran, terang-terang menyatakan mereka tak boleh consume any alcohol." -ini bukan dialog aku. aku waktu ini masih diam. hanya memerhati dan mendengar.
"no no. kena tahu, sejarah pengharaman arak. arak pada awalnya tidak haram. tapi Dieu (Tuhan) mengharamkan kerana membawa kemudaratan. sama seperti dadah dan rokok." -ini dialog gadis Franco-Morocco. waktu ini aku tertanya-tanya, adakah maksudnya dia membenarkan pengambilan arak asalkan tidak memudaratkan.
aku masih diam. cuba berfikir dengan cemerlang.
"samalah macam seorang Kristian. tidak semestinya aku tak melakukan XXXX, ini bermakna aku bukan Kristian. cuma pemahaman kita terhadap satu-satu ritual adalah berbeza." dialog gadis Perancis no 1. XXXX adalah satu ritual keagamaan dalam Katolik yang aku tak dapat tangkap apakah ianya.
aku masih diam. masih cuba berfikir dengan cemerlang.
"dalam Ortodoks juga ada menyatakan tidak boleh menyentuh arak. tapi untuk zaman sekarang, ianya tak valid lagi." kata gadis Russia no 1. tapi disanggah gadis Russia no 2.
"maaf, aku tak setuju. kalau dia betul-betul Ortodoks yang baik, dia akan faham, yang haram tetap haram."
"tapi kalau di Afrika contohnya. mereka kan muslim, tapi saya tak nampak pun mereka tekankan penyembelihan daging secara halal. sebab saya rasa, muslim di situ telah asimilasi dengan kebudayaan Afrika." -gadis Perancis no 2.
blablablabla. dan akhirnya,
"tapi itulah, what say you? you should know better." tanya gadis yang pernah bekerja di Turkmenistan tersebut kepada aku.
bilik itu tiba-tiba menjadi jeda. menanti jawapanku. semuanya menumpukan perhatian kepada aku. sebagai wakil mungkin?
aku faham gadis itu berpengetahuan luas tentang Islam kerana teman lelakinya adalah seorang berketurunan Arab. (ditemui ketika sama-sama bekerja di tapak pembinaan satu projek di Qatar). dan gadis ini sudah terlalu banyak terdedah pada dunia Arab dan Islam di merata-rata dalam kehidupannya.
aku juga faham, aku perlu pandai memberi satu pandangan yang baik. kerana aku perlu menjaga hati seorang lagi muslim di hadapanku yang hidupnya sudah terlalu lama berasimilasi dengan kebudayaan Perancis. bukankah Marocco ada sedikit pengaruh sekular yang dibawa negara Perancis sendiri?
aku juga tahu, ada dua lagi gadis Russia dan dua gadis Perancis yang baik fikirannya tapi berlainan prinsip denganku. mereka mengetahui Islam, Arab dan Muslim daripada pembacaan atau media yang terpesong tetapi mereka ini bukanlah dari golongan yang berfikiran pendek. mereka tidak mempercayai 100% apa yang dipaparkan. jadi di hadapanku, mereka adalah golongan yang masih boleh memdengar kebenaran.
jadi aku harus terlalu berhati-hati. tidak boleh dengan gopoh-gapah menyertai perdebatan mereka tanpa susunan kata-kata yang jelas. aku mungkin hanya akan kelihatan tidak ada hujah. atau terlalu defensif.
aku menarik nafas perlahan-lahan dan menyimpulkan senyum. aku bukanlah dari latar belakang yang berpendidikan tinggi dalam agama, tapi dengan segala ilmu yang telah aku kaut dan faham ketika berada dalam perjalanan tarbiyyah dan usrah selama ini, aku berkata :
"écoutez. listen. ya, aku seorang muslim. menganuti agama Islam. bagi aku, selagi seseorang itu mengakui Tuhan hanya ada satu, hanya ada Allah, dan mengakui Muhammad adalah nabi Allah, selagi itu dia masih bergelar muslim. itu adalah yang aku panggil faith Islam. selagi mana mereka mengakui dua perkara ini. yang membezakan setiap muslim adalah kekuatan atau kerapuhan keberimanannya itu. walaupun di samping dia percaya dua kebenaran ini, dia mungkin makan daging yang tidak halal atau minum arak, tapi kita tak akan sekali-kali boleh mengatakan dia bukan muslim. kerana kita tak dapat akses keimanannya. hanya Tuhan yang mampu. maka itu adalah urusan dirinya dan Tuhannya. melainkan dia terang-terangan menyatakan bahawa dia tidak megakui dua hakikat kebenaran tadi. kita tak boleh menghakimi. atau menyatakan dia bukan muslim (mengkafirkan) tapi sekadar boleh menasihati."
dan mereka mengangguk-angguk dan membuat komentar kecil-kecilan tapi masing-masing tidak berhasrat untuk memanjangkan perdebatan.
aku menghirup teh panas di tanganku. menurunkan debaran hatiku. hari ini Allah telah menolong aku. aku harap aku tidak tersilap bicara. diam-diam di dalam hatiku, aku mengharap, di kali yang lain, sekiranya ini terjadi lagi, moga-moga Allah terus memberikan aku ilham dan melancarkan kata-kataku. seperti lancarnya lidah Musa.
amin.
No comments:
Post a Comment