Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.
gadis, sedang marahkah kamu pada siapa? adakah engkau merasa terkhianati? dan hatimu terasa dihiris-hiris. dunia memang tidak adil. kadang-kadang orang yang paling tersetia sekalipun takkan dapat apa yang disetiakannya itu. kerana kita tidak memiliki masa hadapan kita. bahkan apa-apa sekali pun. kita cuma melaluinya mengikut acuannya sahaja.
gadis, adakah dunia kelihatan nyatanya begitu mengerikan. bukankah engkau telah melakukan segala-galanya, tak ada langkah yang silap atau khilaf. bukankah engkau telah melayani manusia seperti mana engkau inginkan manusia melayani engkau? tapi kenapa tak ada pulangannya? kenapa begitu kejam sekali, kenapa begitu sakit sekali, tanya engkau pada angin. angin takkan menjawab. bahkan tak ada siapa yang boleh menjawabnya kecuali dirimu. kerana engkaulah yang memandangnya dengan pandangan itu.
gadis, bila kita berbicara soal cinta, aduh, ini lebih hebat parahnya. kerana hati terlalu berkuasa dan arif tentang permasalahan ini. padahal ia duduk diam di dalam tubuh kita. kalau boleh, ingin saja kita meraut hati itu dan buangnya jauh ke dasar lautan sambil memekik, 'Ah, hati! kau terlalu menyakitkan! membinasakan seluruh tubuhku. sudah, nyah kau. aku tak mahu engkau lagi. aku tak mahu perasaan yang menyakitkan ini lagi!' oh alangkah mudahnya jika begitu. apa-apa masalah pun bisa selesai.
gadis, aku menangis pada tuhan satu malam. baru-baru ini. saat aku mendapatkan pesanan ringkas tapi penuh keperitanmu. aku tidak menangis kerana aku sedih. tapi aku menangis kerana aku takut. aku menangis, kerana aku tak mahu siapa-siapa pun merasai keperitan yang pernah aku rasai saat kehilangan. aku merayu pada tuhan, elakkan atau cabutkan perasaan remuk itu, yang dicampur gaul dengan benci, marah, kecewa dan tak berdaya itu, daripada hatimu gadis. kerana aku pernah merasainya, sakit yang tak pernah dapat aku ungkapkan melalui perkataan tapi sakitnya benar-benar membinasa. mujur saja tuhan masih sayang. masih mahu meletakkan waras pada fikiran. bahawa menarik nyawa sendiri masih tetap tidak akan menyelesaikan masalah tapi hanya menambahkan masalah di akhirat kelak. ya, sampai begitu aku dahulu. maka, aku merayu pada tuhan, jangan sesiapa jatuh ke dalam ruangan yang mengelirukan itu lagi.
gadis, percayalah, sungguh masa akan sentiasa menyembuhkan kita. akrabilah ia dengan budiman. bukan dengan payah. lepaskan diri daripada ikatan dunia. pandanglah dunia dengan bebas. dunia tak punya makna apa-apa. selain hanya ladang demi akhirat. sekiranya engkau ingin lari, maka silakan lari dengan sekuat hati. tapi jangan engkau menolak semua orang yang masih ingin memberikan senyuman di bibirmu gara-gara engkau benci dengan orang yang menikam hatimu. jangan engkau mengorbankan orang-orang yang sudi kerana orang yang kau harap-harapkan sudah tak sudi lagi. apa gunanya bersedih dan terus kalah padahal dia dan dia dalam diam dan penuh rahsia, di belakangmu, mengukir harapan dan cinta mereka sendiri? tapi siapa kita untuk menghalang perasaan yang berputik antara mereka, kerana itu rahsia tuhan.
gadis, menangilah hidupmu semula. aku pernah melaluinya. situasi kita mirip sekali. mungkin situasimu lebih teruk lagi. tapi anggaplah aku adalah dirimu dari masa hadapanmu. yang datang menceritakan betapa sebenarnya hal ini mudah sekali dan betapa ruginya melupakan apa yang masih ada di sekeliling dek kerana memikir-mikir apa yang telah pergi.
gadis, tahukah engkau, hari ini, ketika dia dan dia menceritakan kepada aku bahawa dia dan dia sudah tidak ada apa lagi, bahawa ini mungkin balasan untuk perbuatan mereka, gadis, begitu mengejutkan, kerana aku sedikit pun tidak senyum tanda berpuas hati. sekelumit pun aku tak merasa puas atau gembira. tapi aku merasa sedih dan pilu untuk dia dan dia. betapa sebenarnya, aku mengharap-harapkan kebahagiaan mereka. ganjil sekali harapanku. tapi mungkin kerana aku sendiri sedang berbahagia dan tak mahu ada yang mendoakan kemusnahan aku.
gadis, berdiamlah sekiranya itu yang engkau mahukan saat ini. aku tak akan mengganggumu. mohonlah pada masa untuk mengubati luka di hatimu. berfikirlah dengan tenang dan lepaskanlah sekiranya barang itu sememangnya hanya mencucuh api ke dalam jiwa.
tapi aku hanya ingin engkau tahu, bahawa engkau masih ada aku, dan kita masih ada mereka-mereka yang lain yang masih sayang. lakukanlah setiap apa demi dirimu sendiri. bukan kerana orang lain. bukan kerana dia yang dibenci. kita tak akan berhenti menuntut ilmu hanya kerana seorang pelesit di dalam kelas.
rahsia tuhan itu manis sekali selepas diungkap. :)

No comments:
Post a Comment