May 7, 2010

tiga puluh enam : bulan

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.








“Kamu tahu, kita ibarat bulan. Bulan cantik atau tidak?”



“Cantiklah, bulan mengambang paling cantik” seorang pelajar lagi menjawab.



“Bulan cantik ya? Kenapa kamu kata bulan itu cantik?”



“Sebab cahayanya. Tiada apa yang boleh lawan ketenangan cahaya bulan di tengah kelam malam”



Basyir mengangguk diiringi senyuman. “Bulan cantik sebab cahayanya kan?”



Semua mengangguk. Benar. Cantik bulan kerana cahayanya yang menawan.



“Bagaimana bulan tanpa cahaya?”




“Buruk la. Banyak kawah. Kelabu hodoh” Seorang lagi menjawab.




Basyir ketawa kecil. Gaya pelajar itu macam tidak suka langsung dengan bulan tanpa cahaya. Ya, bulan tanpa cahaya memang hodoh.




“Cahaya bulan, datanya dari mana?” Basyir bertanya lagi.




“Matahari. Bulan memantulkan cahaya matahari” Syu’aib menjawab.




“Ya. Dan begitulah kita. Islam adalah ibarat matahari. Sumber tenaga kepada kehidupan itu sendiri. Dan kita adalah ibarat bulan.”




Semua diam. Ada yang masih tidak mampu menangkap kata-kata Basyir.




“Maksudnya Cikgu?” Fathi menggaru kepala.




“Kita ini hakikatnya buruk, dengan Islam kita bersinar unggul”




“Memantulkan cahaya Islam?” Seorang pelajar bertanya.




Basyir mengangguk. “Bila kita mengambil Islam sebagai cara hidup, membinanya di dalam jiwa kita, dan memantulkannya di dalam amalan kita, maka kita akan bercahaya”




Dan semua pelajar membuka mata dengan besar. Rasa macam benar-benar melihat cahaya yang dinyatakan itu. Rasa seperti cahaya itu sedang berada di hadapan mereka, terpancar-pancar pada peribadi Basyir.



Ya, Basyir memantulkan cahaya Islam itu di dalam kehidupannya selama ini. Di dalam pergaulannya dengan pelajar. Di dalam perawakannya sebagai guru dan sahabat. Di dalam tugasannya sebagai pendidik dan penyeru. Menyebabkan hari ini semakin ramai pelajar-pelajar tertarik dengannya.



“Justeru, kehodohan kita akan terlenyap apabila kita mampu memancarkan cahaya Islam itu sendiri”



“Maksudnya, kami semua ini, masih ada peluang untuk bercahaya?” Fathi bertanya.



Basyir tersenyum riang.



“Ya.”



- Bulan, Hilal Asyraf




No comments: