May 9, 2010

tiga puluh tujuh : Projek Pantri [Part I]

Assalammualaikum w.b.t

Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.


Aku tersedak. Terpelanting butir-butir nasi dari kunyahan aku. Perlahan-lahan aku kutipkan balik butir nasi yang bersepahan di atas meja bulat pantri pejabat aku.


Sekonyong-konyong aku teringat iklan beras Raja Farah ;


"sebutir nasi.. ibarat setitis peluh petaniii..!"


"bijak.. bijak.."


eh eh. ni dah masuk iklan Milo. Aku kumpulkan butir nasi yang ‘tercemar’ itu. Kacau daun betul. Baru nak menikmati bekal nasi lauk paprik lebihan makan malam semalam.


Tak ada adab ke?


Aku menoleh. Wanita berumur lingkungan 40-an itu baru keluar dari pantri. Bukan main kuat hentam pintu. Banyak sangat tenaga kot makcik ni. Sabar sabar. Kata aku kepada diri aku sendiri.


Berapa banyak kali nak kena sabar. Kalau nak ikutkan nafsu, nak aje aku membalas perbuatan-perbuatan jengkel orang-orang pejabat ni. Bukan tak boleh, aku ada tahi lalat kat tepi bibir tau !


Ha ? Apa kaitan ?


Orang tua-tua kata, banyak cakap. Ye, aku banyak cakap. Tapi takpe takpe. Baru seminggu mula kerja.


Daun pintu dikuak lagi. Aku tegakkan badan sambil prektis senyum depan tupperware aku sebelum menoleh. Senyum kena selalu! Walaupun kurang ikhlas, takpelah, asalkan tak menyakitkan hati orang.


Oh Rozita rupanya. Kerjanya mengangkat telefon hari-hari.


"Hello, Iltizam Engineering. May I help you?" terngiang-ngiang suara dia bila aku telefon hujung tahun yang lepas. Aku sampai konfius ni syarikat melayu ke syarikat omputeh. Sampai hari ini tak bertukar dialognya.


Muka aku sudah semanis gula. Lagi manis dari gula aku rasa. Tapi mukanya semasam-masam buah limau yang tak ranum lagi.


"Tak lunch ke Rozita?" aku cuba berbasa-basi. Budak baru kena peramah!


"Emmm.." balasnya acuh tak acuh.


Aku konfius. 'Emm..' tu maknanya apa? ya? jap lagi? tak? tak lapar? kau sibuk kenapa?

Rozita cepat mengatur langkah ke pintu lepas dia buat-buat basuh tangan. Pintu ditarik, kali ni tak sekuat makcik Siti tadi. Pintu itu terbuka sedikit. Aku tak tahu sama ada itu sengaja dibuka sikit atau tak sengaja. Telinga aku pantas menangkap ;


"Betul lah kak Siti. Bau busuk pantri kita dengan bekal makanan yg dia bawak tu!"


"Aku dah kata dah. Hish. Budak kampung manalah sesat dekat Kuala Lumpur ni!"


Aku menelan air liur. Rasa tersekat di esofagus aku. Aku pandang tupperware aku yang sudah setengah kosong. Sampai hati dia kata dinner lebihan masakan mak aku ni busuk?


Mata aku bergenang. Boleh ke aku tahan duduk kat pejabat ni?



To be continued...

No comments: