Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.
Bismillahirrahmanirrahim..
hati wanita adalah satu perkara yang paling rumit difahami manusia sejagat bernama lelaki. sukar sekali untuk dirumuskan (baca: generalized) tabiat wanita.
satu perkara yang harus manusia bernama lelaki ketahui, sekeras mana jua tampaknya gadis itu, selamlah ke dasar hatinya, pasti akan kau temukan butir-butir kerapuhannya (baca : fragility). bukankah perempuan itu, kepandaiannya hanya menangis? lebih kurang begitulah kata Tuan Hamka dalam melakarkan Hayati di nukilan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
ketahuilah, para lelaki, hati perempuan cepat dan mudah sekali terluka. sekali ditikam, seribu batu ia berlari dan menggigil ketakutan. kecuali ada manusia yang membantu merawati luka, kembalilah ia bertenang.
aku, sang imaginasi yang maha gila, seringkali bila ku buka mataku lalu aku melihat aku telah berada di langit anganan yang tak terkecapi siapa pun. hanya aku. dan hanya Allah yang tahu.
malang sekali, manusia seperti aku, yang sudah sedia ada penakut, yang hidupnya banyak bersulam angan kisah dongeng indah, telah pun terjatuh di lubang kekecewaan dan pengkhianatan hati. lalu hatiku, diam-diam telah aku balut durikannya tanpa siapa pun menyedarinya. siapa pun melihatku, menyangka hatiku pasti mudah dicuri, pasti mudah dicapai, pasti mudah digapai.
begitulah aku, di mata-mata engkau, aku, mudah sekali dirapati, dibawa berbual kemudian bergurau senda. senyum. ketawa. seolah-olah tidak ada duka di sebaliknya. tidak ada salah anggapanmu, aku memang begitu. tapi itu sahaja. setakat itu. jangan sekali kau berani melebihi garisan itu. engkau pasti tidak berjaya. kerana hati aku tidak dipagari tapi dibaluti perlindungannya.
aku kisahkan kepadamu tentang seorang pahlawan yang telah berjaya melepasi garisan itu. hairan, kerana aku hanya melihat, membiarkannya melangkah. mungkin, aku mahu melihat, kalau-kalau ia mampu akhirnya membuka balutan duri di hatiku.
hebat sekali pencapaiannya. balutan itu masih belum terbuka tapi telah berlubang di sana sini. kemudian, aku melihat, pahlawan itu sedang terlantar. berdarah seluruh tubuhnya dek duri-duri tajam yang menghancurkannya.
rupa-rupanya, aku tidak pernah memberinya sedikit pun kepercayaan. aku, masih lagi dipenuhi curiga, masih lagi ditebali prasangka, masih lagi tetap bahawa hatiku sekali-kali tidak akan diberi kepada sesiapa pun.
pahlawan itu telah bangkit. bersiap-sedia mahu bertarung lagi. lalu, hatiku sesak dan lemas. menangis melihat kebudiannya. aku cubakan membuang balutan duri sendiri, berkali-kali, sehingga aku sendiri turut terluka.
kemudian, aku berhenti. aku pandang pahlawan itu, lalu aku senyum di dalam tangis yang masih bersisa, mataku memohon ampun kepadanya lalu berkata, 'kasih, maafkanku. tapi terima kasih kerana mencuba. tapi aku harus menamatkan permainan ini. sudah tak sanggup lagi aku melihatmu terluka begitu.'
lalu, aku tolakkannya di belakang garisan semula.
pahlawan itu merenungku. sepertinya, masih mahu menunggu. aku juga merenungnya. sepertinya, masih mahu dia bertarung untuk hatiku. tapi entah sampai bila, dia mahu di situ.
kerana hati ini, hati pinjaman Allah ini, adalah milikku. kepunyaanku. mengapa mengharap manusia lain yang menyelamatkannya?
itulah, para lelaki. kisah tragis dua manusia di bawah langit Tuhan.
jangan sekali kau melukakan hati perempuan. kerana sekejap lagi, perempuan itu mudah sekali berputus asa lalu melemahkan manusia sekeliling. sekalipun, engkau telah melukai, jangan sekali kau membiarkannya tanpa usaha mengurangkan kesakitannya.
dalam hal ku, manusia pertama yang menolakku (mungkin secara tidak sengaja) ke dalam lubang kekecewaanku, nampaknya sedikitpun tidak kembali untuk sekurang-kurangnya mengurangi bebanan psikologiku. sedikit pun aku tidak mengharap engkau menyuapi segala, kerana aku tahu merawat hatiku sendiri. tapi, kalau niat asas itu pun kau palingkan, tidak ada apa lagi yang boleh aku lakukan.
maka, tidak mengapa, kerana aku telah menutup buku lama, memaafkanmu. aku juga cuba memohon ampun darimu kerana engkau tidak salah sepenuhnya, aku juga ada bahagian khilafnya tetapi malang sekali engkau berpaling dan tak endah. maka terpulang, kawan.
matahari semakin menginjak saat aku mengarang kisah ini. tidak ada salji sepanjang musim dingin ini kecuali empat hari ketika aku di tempat ajaib. inilah tempoh pengasinganku. aku memilih me'naga'kan tahun baru ini.
semoga tempoh jarak yang aku ciptakan ini, hatiku terdidik Allah, supaya mempercayai bukan siapa-siapa, tapi kembali mempercayai diriku sendiri. bahawa hakikatnya, aku juga layak untuk merasa bahagia. amin.
[Kuliah Muslimat Ustaz Azhar Idrus] pintu taubat Tuhan bukan seperti besarnya pintu masjid ni, tapi seluas langit dan bumi. jadi mohonlah ampun kepada-Nya. janganlah kamu berputus asa.
[Surah Al-Hadid, 57 : 21] Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya. Itulah kurnia Allah, yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.
apa sahaja di hadapanku, Allah bersamaku.
No comments:
Post a Comment