Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.
waktu itu, aku kira, aku sedang menanti rakanku siap bersolat di sebuah surau di Stesen Sentral ibu kota Kuala Lumpur. ingatanku kurang jelas, mungkin saja ketika itu keadaannya yang sesak memaksa kami solat bergilir dan barang yang banyak untuk dijaga atau mungkin ketika itu aku tidak boleh bersolat.
aku duduk di bangku panjang betul-betul berhadapan dengan tempat mengambil wuduk. tidak ada apa yang boleh aku lakukan kecuali melongo di situ. setiap kali pintu surau terkuak, habis semua wanita atau kanak-kanak perempuan yang melangkah masuk, aku pandang. aku senyum sekiranya ada yang sudi memandangku atau terpandang diriku.
lama-lama aku jadi segan. aku anjakkan diriku ke dalam sedikit, agar setiap kali pintu terbuka, aku terlindung daripada orang di luar yang mengintai-intai.
lalu aku alihkan pandanganku kepada orang yang berwuduk. lama. begitu lama. satu-persatu aku perhatikan mereka berwuduk. begitu teliti. setiap perempuan. daripada bagaimana derasnya air yang dibiarkan mengalir, bagaimana bersepah air yang memercik ke lantai hinggalah bagaimana air diratakan di setiap anggota badan.
benar kata orang, memerhati itu ada kalanya mampu mengajar.
aku lihat ada yang air tidak diratakan sepenuhnya hingga ke hujung siku dan tidak sampai pada balik cuping telinga. dan aku nobatkan kaki adalah anggota yang paling ramai manusia entengkan. kebanyakan hanya menjulur kaki dan membiarkan air mengalir 'secara semulajadi' tanpa meratakan pada tapak dan tumit kaki.
bahu ku ditepuk rakan.
aku beristighfar. sudahlah aku hanya memandang. tegur sekali tidak. tak ada keteguhan dan keberanian. malah, diam-diam, hati aku cenderung menghakimi manusia-manusia yang berwuduk 'gitu-gitu aje'. padahal, kerana mereka, hari ini aku selalu sedaya-upaya cuba menyempurnakan wudukku. moga diterima Allah. astarghfirullah astarghfirullah astarghfirullah.
2 comments:
selalu kita ambil mudah benda-benda kecil. kita akan nampak bila tengok orang lain buat salah. tapi kadang-kadang, kita pun buat salah yang sama tanpa sedar. kan?
sbb tgk org lain berwuduk tu la, baru terfikir nak betulkan wuduk sendiri.
tp betul, dalam byk hal, kita mmg mcm tu, tak perasan kita pun buat salah yang sama. so, tegurlah diri ni kalau nmpak salahnya eh. :)
Post a Comment