Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.
(NASIHAT : jika tulisan terlalu kecil, dapat merosakkan mata. sila tekan CTRL serentak roll kan butang antara kiri dan kanan tetikus anda sehingga saiz tulisan membesar mengikut keselesaan kornea mata anda. )
p/s : as seen on Arif France :
sambungan....
Perlahan-lahan tangannya merapikan surat itu. Ada dua helai semuanya. Razman tidak membacanya terus. Dicarinya dahulu nama pengirimnya di hujung kata. Tak ada. Hanya ada tandatangan. Razman tak mampu mengenalpasti butir-butir huruf daripada tandatangan itu. Gagal.
Razman menarik nafas panjang. Menggigil dia sebentar. Memang benar, Tuhan telah mendengar ‘kehendak’nya tadi dan terus saja Dia menjawabnya! Matanya mula menelusuri bait-bait perkataan yang tertulis.
Ke hadapan saudaraku yang budiman, yang turut sama denganku berkongsi darah atas namanya Islam, satu-satunya agama yang diredhai Tuhan kita yang Maha Pecinta, Allah swt.
Apakah engkau terkejut menerima kehadiran lembaran kata-kata ini? Aku harap, diriku tidak menganggu kehidupan indahmu. Tetapi, hati dan perasaanku, meronta-ronta minta dilepaskan. Telahku cuba meluahkannya kepada angin yang bertiup sepoi, tapi ia berlalu begitu saja, tanpa makna. Lalu ku cuba pula berkongsi rasa sama malam yang pekat, tapi dia juga begitu, hanya tahu berteman bintang dan bulan, tak ada erti.
Razman ternganga. Masyaallah, puitis sungguh surat ini! Di kepalanya terngiang-ngiang lagu yang dinyanyinya tadi. Anugerah apakah ini, Tuhan? Surat itu buatnya terigau, seolah-olah ada sesuatu yang begitu kuat telah menarik hatinya untuk meneruskan pembacaannya.
Setelah berfikir-fikir, akhirnya ku putuskan, kepadamulah selayaknya ku utuskan surat ini. Sudilah kiranya engkau tetap terus bersamaku di dalam warkah ini. Sudilah kiranya engkau mendengar cerita-cerita dari lubuk hatiku ini, agar kelak, aku kan terpahat di memorimu, dan satu saja harapanku, moga engkau kan memperoleh sesuatu dari kisahku. Anggaplah perkongsian ini adalah kerana cintaku kepada mu, saudaraku, tetapi yang utamanya adalah kerana aku begitu cinta kepada Maha Besar, mengharap redha-Nya.
Saudara,
Tahukah engkau, bunga kegemaranku adalah bunga putih yang berkelopak kadangnya enam kadangnya lebih. Namanya jasmin. Di tempatmu itu, wujudkah bunga-bunga jasmin yang menghiasi taman-taman terbuka di sana? Di setiap bangun pagiku, setelah ucapan syukur pada Tuhan atas kesudiannya memberiku nafas sekali lagi, dari tetingkapku, aku menyapa jasmin di halaman rumahku. Ah, saudara, indah sekali perasaan itu. Nyaman. Tenang. Syurga dunia. Bagaimana agaknya syurga sebenar ya, saudaraku? Pasti abangku tahu akan jawapannya.
Aku sedang berduka. Halaman jasminku sudah tak ada lagi. Ia telah musnah. Pagiku sudah tak lagi dipenuhi haruman mereka. Yang tinggal hanya kayu-kayu kering, tanah-tanah hitam selepas dimakan api yang marak. Rumahku juga turut terkena tempiasnya.
Ah, sepi sekali rasanya. Aku tak dibenarkan keluar dari rumah yang separuh musnah ini. Bahaya, kata ummi. Jiwaku merana. Aku hanya mampu merenung dari dalam jendela. Melihat langit yang masih biru, mentari yang masih menyinar. Kata abang pada suatu hari, itu tanda yang baik. Waktu itu, aku lihat kakinya cumanya sebelah, terlantar di pembaringan di sudut ruang tamu rumah kami. Aku berbisik perlahan, bertanya, kalau-kalau dia merana. Abangku memberiku senyuman yang paling manis sekali, saudara. Katanya lagi, selagi Allah masih ingin meniupkan roh di dalam jasad kita, selagi itu kita harus tetap kuat dan yakin, bahawa Allah sebenarnya sedang masih tetap memberi peluang pada kita, memaknai pengembaraan kita di dunia, mencari ilmu akhirat. Walau perit bagaimanapun perjalanan itu. Percaya.
Abangku, satu-satunya teman sepermainanku. Yang gagah, setia menjagaku dari dibuli rakan seusiaku. Yang pintar, sentiasa di sisi memberiku sokongan dan nasihat. Yang pengasih, tetap selalu menyapu air mataku. Yang sabar, melayan rajukku dan mendidikku tentang memaafi. Yang nakal, sering mengusikku. Ah, rinduku semakin menebal. Aku terasa begitu seorang. Kerana abang telah pergi. Luka kakinya yang dibedah telah menular di seluruh badannya lalu meragut nyawanya, sehari selepas dia menghadiahkanku satu perkataan yang ku pegang. Percaya.
Saudaraku, bagaimana dengan dirimu? Cintakah engkau kepada adikmu?
Razman meraup mukanya. Wajah Rozita datang di fikirannya.
Semalam, sesuatu yang ganjil telah terjadi. Telah bertahun-tahun ia tak muncul, tiba-tiba, salju putih turun dengan lebatnya di daerahku, saudara! Di tengah-tengah kekuasaan yang penuh kedengkian kepala negaraku, rencananya memutuskan bekalan air tampak begitu kerdil daripada rencana Tuhan yang Maha Kuasa.
Dukaku telah mereda. Salju putih telah membujukku. Kerana salju putih turun, menutupi darah yang masih segar di jalanan. Salju putih telah meredakan bau serbuk senjata dan letupan. Salju putih telah menjadikan rumah-rumah kita kelihatan sempurna, tak ada lagi kesan musnah. Ummiku telah keluar, membina patung salji yang gemuk, semata-mata mahu mengembalikan senyuman di bibirku.
Ah ummi, begitu sekali kasihnya kepadaku. Lalu apa lagi yang harus aku pintakan kepada Allah?
Yang harus aku adukan kepada Allah, sedangkan tak terkira banyaknya cinta dan nikmat yang telah Dia tinggalkan kepadaku melalui ummi dan abi.
Saudara, lembaranku telah terlalu panjang.
Ketahuilah, aku sudah tidak berduka. Kerana aku selalu percaya, selalu kuat, selagi hidup, Allah sentiasa ada untuk melindungiku. Aku tidak perlu air mata darimu. Aku cuma dambakan doamu. Doamu di hujung solatmu pada Allah, yang kemudiannya akan Dia sampaikan kepada kami di sini, di bumi jasmin.
Tetapi aku khuatir, bagaimana solatmu, saudaraku? Bagaimana hubunganmu dengan-Nya? Solehkah mu kepada ummi dan abimu? Dengan sekalian di sekelilingmu? Untung sekali
kehidupanmu, saudara. Engkau aman di sana.
Walau kita tak pernah bersua, kekasih, atas nama cintaku kepadamu, dan atas nama cintamu kepadaku, saudara seakidahmu, mahukah engkau berjanji kepadaku?
Berjanjilah, bahawa engkau, akan tetap ikhlas dan tak akan pernah berhenti menjadi hamba Allah yang cemerlang.
Yang merindui akan doamu, menantimu;
(tandatangan yang kurang jelas)
* * *
“Allahuakbar.. Allahuakbar..!” Azan Maghrib berkemundang dari corong surau Kampung Pekan. Mak Jah hairan sekali. Tak ada lagi bunyi bising dari pertengkaran Razman dan Rozita hari ini. Dijenguknya diam-diam pintu bilik mandi.
‘Mana pula budak dua orang ni?’
Direnungnya lauk-pauk yang telah siap dihidang di atas meja. Ditutupinya pula dengan tudung saji. Tiba-tiba kedengaran derap kaki dari hadapan rumah menuju ke dapur.
“Mak, hari ni, Man dengan Ita ikut mak ya pergi surau?” kata Razman, segak berbaju melayu hijau muda.
Mak Jah terkedu. “Ita ikut sekali?” tanya Mak Jah.
“Ikutlah mak. Abang kata, jalan kaki pergi surau pun boleh dapat banyak pahala.” Jawab Ita.
“Eleh, padahal dah suruh abang janji, esok belanja Tutti Frutti.” Usik Razman sambil menarik adiknya yang ketawa terkekeh-kekeh, menuju ke pintu rumah.
“Mak?” Razman menoleh ke belakang.
Mak Jah menangis. Menangis tak henti-henti, memanjatkan kesyukuran kepada Allah.
-TAMAT
Lily Harina ;
00:30 ; 14 March 2012
rue Condorcet

No comments:
Post a Comment