(Artikel untuk arif-france.org)
Bismillahirrahmanirrahim.....
Bismillahirrahmanirrahim.....
Di sebalik setiap peristiwa yang Allah turunkan, pasti ada signifikasinya.
Hari ini 1 Muharram 1434H. Tahun baru datang lagi menurut kalendar Islam. Mengenang satu titik pusing dalam sejarah Islam. Yang pastinya, sekira dihayati dengan penuh dalam dan keimanan, membawa impak besar pada setiap jiwa-jiwa kita. Ya, itulah peristiwa penghijrahan.
Dari Saidatina Aisya r.a berkata, Rasulullah bersabda, "Tidak ada hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah." (Hadis riwayat Muslim)
Hijrah, mudah sekali perkataan itu meniti bibir di setiap kita. Apakah kita benar-benar memahami maknanya? Apakah setiap kali menjelangnya tahun baru, kita mendendangkan lagu 1 Muharram dengan semangat yang tinggi? Ke mana hala tujunya semangat itu hendak disalurkan? Dengan memasang dan memperbaharui niat?
Sesungguhnya memang benar, hijrah itu adalah sesuatu yang berat dan tidak mudah. Ibarat sang kekasih yang terpaksa meninggalkan pasangan yang dicintainya dan dirinduinya setiap hari dan setiap minit, gara-gara tentangan dari kedua orang tua. Begitulah kita yang harus meninggalkan perkara-perkara yang kita suka, yang kita senang dan selesa, tapi tidak sesuai di neraca agama, kerana ingin mencapai keredhaan Allah semata-mata.
Tapi lupakah kita sebahagian lagi dari kisah penghijrahan itu?
Hijrah mungkin menuntut kepayahan dan perit jerih tapi selaklah lembaran sejarah itu lebih jauh lagi. Bukankah kita dikisahkan dengan kemeriahan dan kebaikan kaum Ansar yang menyambut kedatangan Rasulullah dan kaum Muhajirin? Kita disajikan dengan ukhwah fillah antara dua kaum ini sehingga si Ansar sanggup menawarkan isterinya sendiri kepada si Muhajirin yang datang sehelai sepinggang. Maka hiduplah mereka dengan penuh harmoni. Itulah 'hadiah' di penghujung pengorbanan yang akan memeluk kita.
Hari ini 1 Muharram 1434H. Perasaan kita bercampur baur. Entah mahu gembira kerana Tuhan masih sudi menemukan kita dengan tahun baru atau mahu bersedih kerana tepat menjelang tarikh ini, benar-benar ketika jarum waktu tiba pada hari pertama tahun baru, kita dikejutkan dengan berita serangan laknat Zionis ke atas saudara seakidah kita di Gaza.
Ironi sekali. Masakan mereka tidak mengetahui bahawa ini adalah tarikh istimewa buat kita? Atau mungkin, mereka memang dengan sengaja menyerang kita pada hari ini, seolah-olah ingin mempamerkan kepada dunia, 'lihatlah, umat Islam pada satu waktu dahulu, pada hari ini, mereka bangkit dengan penuh kegemilangan tapi ketika ini mereka hanyalah diibaratkan semut-semut kecil, yang tak berkudrat, tak berkuasa, dan mudah sekali dibedil dan dipenyetkan peluru kami!'
Astargfirullah! Tak tercapai dek akal manusia melihatkan bajingan-bajingan ini langsung tak ada hati perut dan nilai kemanusiaan!
Manakala kita, di belahan dunia yang lain, ada yang endah, ada yang tidak. Ada diantara kita yang menangis. Tapi setiap titis air mata yang jatuh, sukar sekali untuk kita sendiri memahami. Apa erti tangisan ini? Adakah kita menangis kerana hati kita terlalu hiba melihat saudara kita dibakar api bom yang meletus? Atau sebenarnya kita menangis kerana kita ralat. Kita terduduk lemah dan tak mampu melakukan apa-apa dengan tangan-tangan kita sendiri. Kita hanya mampu melihat. Alangkah pilunya hati ini, merasa seperti begitu tidak berguna!
Jangan kawan-kawan! Ayuhlah! Kita bangkit! Kita punya peranan tersendiri.
Beruntunglah kita, kerana Allah menurunkan kesedihan ini pada hari ini, pada tahun baru, mencetuskan semangat yang berbeza dari hari semalam. Kesedihan inilah yang akan membakar kita, yang akan terus menghambat kita untuk terus dan terus berubah kepada kebaikan lantas tanpa kita sedar, Islam akan mendekati kemenangan. Ini adalah tugas yang panjang. Tapi, yakinlah, janji Allah itu pasti! Sunatullah kan berlaku!
Jadilah seperti Muhajirin, yang tak gentar pada apa yang dihadapan, yang penuh semangat, yang penuh berani. Bukankah keberanian dan tekad mereka yang bulat itu datangnya dari kesempitan dan seksaan daripada kaum Musyrikin Mekah?
Jadilah seperti Ansar, yang penuh dengan keikhlasan, yang mengalu-alukan dengan tidak sabar cahaya dari seorang Nabi terhormat dan mulia, yang berlumba-lumba melakukan kemuliaan di kalangan saudara. Bukankah kaum Ansar juga datangnya dari suku bani yang sering bertelingkah tapi atas nama persaudaraan Islam, mereka telah disatukan?
Itulah indahnya sejarah penghijrahan. Ia adalah cermin kepada kita di zaman ini. Sambutlah hari ini dengan penuh perasaan. Pedulikan peluru-peluru Zionis, ia pasti habis. Setiap darah saudara kita yang menyentuh bumi, gantikanlah ia dengan senjata terkuat dan terhebat kita, yang mampu menyelubungi seantero dunia dan mencecah langit, malah pasti takkan pernah habis : itulah DOA.
'One day the people of Gaza will wake up to the sounds of peaceful birds rather than bombs.' -Quoted
No comments:
Post a Comment