Assalammualaikum w.b.t
Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.
Lif. satu ruangan kotak yang gerakannya berpunca dari turus roda yang berputar, ditampung tali yang melincir laju ke atas dan ke bawah. ah, aku memang sampah untuk menerangkan proses mekanik bagaimana lif berfungsi. tatabahasa aku telah memudar. kosa kata aku banyak yang sesat.
sabtu lalu, aku menjenguk rakanku di hospital. biliknya di tingkat empat, di kaki lima satu lagi yang hanya ada bilik-bilik angka ganjil. bilik-bilik yang angkanya genap di kaki lima yang lain. hospital apa ini, bikin aku menyirap dan kelihatan dungu berlegar-legar di ruangan umum. wajahku cemberut-cemberut pabila bilik yang dicari tidak wujud. ah, salah hospitalkah aku? atau aku sedang berada di platform Harry Potter? ada bilik yang hanya muncul dengan mata ahli silap mata. gila apa. aku manusia biasa.
hari ini masuk kali ketiga aku menjenguknya. tidak ada kewajipan cuma aku tak mahu dia kebosanan seorang diri di dalam bilik. sudahlah keluar masuk biliknya, semua dimestikan memakai topeng mulut.
seperti biasa aku menekan anak panah ke atas, memanggil lif. beberapa minit, pintu lif terbuka. aku dan dua orang di hadapan ku masuk ke dalam. aku menekan angka 4, dan bersandar di palang belakangku. yang lain, entah, tingkat berapa, aku tak ambil pusing.
kaku.
dalam kotak sempit itu, semuanya diam membantu. aku tunduk, memandang kasutku atau memandang lantai. fikiranku kosong. yang lain juga turut menunduk. merenung lantai. entah apa yang difikir mereka, aku tak ambil pusing.
ting!
dua manusia itu mengucap selamat tinggal, kemudian melangkah keluar sebaik saja pintu lif terbuka.
ting!
giliranku pula keluar. tidak seperti saat pertama, kali ini aku melangkah laju ke bilik angka ganjil. aku merapikan topeng mulut kemudian masuk ke biliknya.
satu jam lebih. aku keluar.
seperti biasa aku menekan anak panah ke bawah, memanggil lif. beberapa minit, pintu lif terbuka. aku dan seorang di hadapan ku masuk ke dalam. aku menekan angka 0, dan bersandar di palang belakangku. yang lain, entah, tingkat berapa, aku tak ambil pusing.
kaku.
dalam kotak sempit itu, semuanya diam membantu. aku tunduk, memandang kasutku atau memandang lantai. fikiranku kosong. yang lain juga turut menunduk. merenung lantai. entah apa yang difikir mereka, aku tak ambil pusing.
hairan sekali.
beza sekali sekiranya engkau menggunakan lif di hotel. orang-orang yang masuk ke dalamnya, mencatat wajah-wajah yang gembira. kalau mahu naik, kepala mereka terjengah-jengah ke atas, macamlah boleh melihat tembus siling lif? kalau mahu turun, kepala mereak tertunduk-tunduk ke bawah, macamlah boleh melihat tembus lantai lif? yang pasti, ada nada tidak sabar dalam hati masing-masing.
ya, beza sekali dengan lif di hospital.
patutlah, banyak kisah cinta pasangan-pasangan bertemu cinta di dalam lif di bangunan tempat kerja.
aku fikir, di dalam lif lah engkau menyediakan dirimu : mencurah keringat atau menahan debar atau menghapus resah. sebelum engkau melangkah keluar dan menghadapi apa jua segala yang di luar sana.
apa pengajaran? tak ada.
aku sekali-sekala, ingin juga terlihat kritis, menulis tentang penelitian aku tentang gerak-geri manusia.
ya. tak ada pengajaran. sengaja.
No comments:
Post a Comment