April 22, 2013

Lagu nasihat di sisir lautan.

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




Waktu itu, fikiran aku runsing sangat. Tentang masa depan : kerja, keluarga, hidup. Aku pun larikan diri, larikan diri kata nak dekat dengan laut. Kalau boleh, bila tengok laut yang macam tak ada penghujung, boleh buat dada aku lapang sikit. Hari Jumaat lepas kerja, aku capai bagasi dan terus bertolak ke Fécamp.


Seronok! Fécamp memang sangat cantik. Lagi-lagi sekarang bukan musim cuti sekolah. Jadi tak ramai orang. Aku mendaki tebing pun tak sesak. 20 minit, dah sampai puncak. Tak ramai orang, bolehlah aku nikmati puas-puas, lama-lama dekat puncak. Subhanallah, cantik sangat ni. (gambar entri lain ya).


Aku pun mendaki turun. Perut dah lapar. Masa tu jam 2 petang. Aku singgah makan sebelum sambung berjalan di tepi-tepi laut pula. Cuma satu, pantai di sini, pantai berbatu. Bukan berpasir. Tak apalah. Nampak laut pun dah cukup bagus dan baik. Lepas puas menangkap gambar, tekak aku haus. Aku pun duduk di satu bangku untuk minum. Tiba-tiba, ada suara wanita tua datang dari arah kanan aku. Dia duduk di bangku yang sama.


"Awak tangkap gambar?" tanya dia. Aku angguk dan pandang kamera besar di tangan aku. "Ya."


Diam. Aku masih senyum. Aku kalih pandangan ke arah Selat Inggeris di hadapan aku.


"Awak pakai tudung sebab awak Muslim ya?" Wanita tua itu bersuara lagi. Aku toleh semula kepadanya. Aku angguk lagi. Senyum lagi. Diam.


"Angin kuat ya hari ini." kata aku sekadar berbasa-basi.


"Betul." kata dia pula. Aku cuma berdiam lagi. Tak mahu terlalu banyak bercakap apabila ruang untuk menikmati ketenangan terbuka luas untuk aku dan dia.


"Awak tahu.." Wanita itu berkata selepas beberapa ketika. "Awak masih muda."


Aku terpinga-pinga. Tapi memilih untuk tetap diam. Dia melepaskan keluhan kecil sebelum menyambung.


"Di usia awak sekarang, awak perlu tahu tujuan hidup. Sekarang adalah waktu yang paling baik untuk awak bentuk jati diri dan kekuatan mental." 


Aku menelan air liur.


"Saya ada tiga orang anak. Anak pertama saya umurnya 43 tahun. Awak tahu dia di mana?" tanya dia. Aku menggelengkan kepala.


"Dia tinggal dengan saya. Dia ada di rumah. Entah apa yang dilakukannya sekarang. Anak saya yang itu, masih cantik. Walaupun umurnya sudah 40-an, tapi dia masih punya bentuk badan yang cantik. Tapi sayang, perkahwinan pertamanya  tak menjadi. Tak apalah, tapi yang menjadikan saya risau tentulah anaknya. 


Kadang-kadang, orang dewasa terlalu mementingkan diri.


Saya hidup dengan wang saraan. Berapa banyak yang saya ada. Untuk menampung keperluan saya. Sekarang, menampung dia juga. Kerjanya tak tetap. Ada hari, dia kerja. Kebanyakan hari, dia tidur hanya bangun jam 11 pagi. Saya sendiri bangun jam 6 pagi. Di tangannya tak ada jam tangan. Tak ada waktu untuk dia. Sebab dia tahu, tak ada siapa yang menunggunya. Tak ada apa yang menunggunya.Tapi, quand même, ada saya, saya, ibunya menunggunya.


Hidupnya tak menentu. Sekarang hangat bercinta. Dengan lelaki yang kononnya mengaku bekerja dengan syarikat harta tanah. Tapi selepas 6 bulan, katanya dia dibuang kerja. Dua-dua tak ada sumber pendapatan, tapi mahukan kehidupan yang mewah. Itulah, awak lihat, manusia yang mahu hidup melebihi kemampuan."


Aku masih tekun mendengar. Di awal-awal ada juga aku memberi respon tapi akhirnya aku memilih untuk menjadi pendengar.


"Anak saya yang kedua, lelaki. Ah.. Dia juga, kehidupannya entah bagaimana." 


"Anak puan yang itu tak bekerja?" tanya aku.


"Kerja. Jadi penulis. Kerjanya juga tak menentu. Baru-baru ini, bukan main dia menghalang saya yang mahu datang melawatnya. Saya tahu, kalau dia tak mahu saya datang, pasti ada sesuatu yang dia sembunyikan. Rupanya, di rumahnya, tak ada apa yang boleh dimakan. Ah, hidupnya merempat.


Tapi anak saya yang ketiga, ah yang itu. Saya sendiri hairan. Antara semua, bagaimana yang ketiga itu, boleh jadi yang paling berjaya. Kerjanya baik, sudah berkeluarga. Punya suami yang pekerjaannya juga baik. Ada tiga orang anak. Tapi..."


"Tapi...?" tanya saya pula.


"Tapi anaknya, umur 4 tahun, terlalu nakal. Tak dapat dikawal. Bila mereka pulang ke rumah saya, bekalan keju yang saya makan untuk 2 minggu, boleh habis dalam masa 3 hari, di makan anaknya itu. Saya tahu, anak saya rasa bersalah. Sebab itu, bila mereka keluar berjalan, bila pulang, pasti anak saya yang itu akan menggantikan keju yang baru. Menantu saya, mulutnya kunci. Tak pernah pandai menegur anaknya.


Tapi, c'est pas la solution, tu sais. Itu bukan jalan penyelesaiannya."


Aku menarik nafas kecil.


"Awak tak mahu kahwin?" Aku terkesima mendengarkan soalannya. Aku mengangguk dan mengatakan pastilah aku mahu berkahwin.


"Jangan berkahwin hanya kerana awak sukakan dia. Ini bukan hanya persoalan siapa suka siapa. Ada tanggungjawab dan toleransi yang datang bersama. Tapi saya tak tahu, mungkin awak akan kahwin atas pilihan orang tua?" Aku menggeleng dan menjelaskan itu bukan satu-satunya cara mencari suami.


"Awak masih muda." Dia mengulang. 


"Akhirnya, pekerjaan itu sangat penting. Kan? Carilah apa keinginan awak sekarang. Jangan sia-siakan dengan keseronokan. Kuatkan mental awak. Tetapkan hati. Kenali diri awak. Jalan masih panjang. Sementara awak masih muda, gunakan usia sebaik mungkin. Selalu beri khidmat pada orang lain. Anak-anak saya, saya fikir, di umur mereka sekarang, sudah tak boleh diperbaiki lagi kan? (incorrigible)"


Dia melepaskan keluhan. Kami duduk begitu tanpa suara selama entah berapa minit. Hingga dia memohon diri untuk pulang.


Aku masih di bangku. Cuba mencerna satu-satu perkataannya. Aku dalam kejutan. Allah menghantar aku nasihat tepat pada permasalahan. Menghantar seorang dari kemungkinan masa hadapan, menyanyikan pengajaran tepat di telinga.


Mungkin begini kata Tuhan : Jangan sampai terlambat, jangan sampai tersalah langkah, jangan sia-siakan waktu yang ada. Cukuplah ragu-ragu di hati itu. Hentikan. Dan mula bertindak.


Ah, Allah Maha Mendengar. Hati hamba-Nya yang merintih.



No comments: