May 2, 2013

Wa a'uzubika minal jubni wal bukhl.

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




[.........]


Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud; Berkatalah anak Adam: Mana hartaku? Mana hartaku? Itu bukanlah harta kamu melainkan apa yang kamu makan dan hancurkannya (dalam perut kamu) atau apa yang kamu pakai sehingga pakaian menjadi lusuh dan koyak atau apa yang kamu sedekahkan dan kamu nafkah (dengan tulus ikhlas).(Hadis riwayat Muslim). 


Jelas hadis Rasulullah SAW bahawa rezeki sebenarnya mengikut Islam adalah benda memanfaatkan kepada tuan empunyanya, bukannya keuntungannya atau kekayaannya atau apa dimilikinya. Wang sedikit dibelanjakan itu adalah rezekinya, manakala bakinya masih tersimpan bukanlah rezekinya. Dalam hadis itu, Rasulullah menegaskan tiga perkara menjadi pintu utama rezeki bagi manusia. Justeru, manusia pada dasarnya tidak memiliki harta melainkan pada tiga perkara disebutkan tadi. Ringkasnya, harta itu sebenarnya satu amanah dipertanggungjawabkan dengan kewajipan mengagihkan hak milik Allah kepada makhluk menghuni alam maya ini. 


Kehidupan dunia ini ujian bagi manusia sama ada menjadi orang beriman dan mencintai Allah ataupun sebaliknya, sedangkan Allah menjadikan manusia daripada tanah, memberi dan memenuhi segala keperluan hidup dengan limpahan nikmat tidak terhingga supaya dapat dilihat dan dinilai siapakah yang lebih baik amalnya seperti firman Allah yang bermaksud: Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat). (Surah al-Mulk, ayat 2). 


Setiap pemberian Allah pada hamba-Nya adalah rezeki kerana dapat memanfaatkannya ke arah kebaikan, kesejahteraan dan keredaan Ilahi. Rezeki itu bukanlah harta semata-mata, sebaliknya sifat pemurah itu adalah rezeki. Allah tidak melihat seseorang itu lebih tinggi kedudukannya daripada yang lain dalam apa juga bentuk rezeki, malahan semuanya diberikan keutamaan dan kelebihan masing-masing. 


Kunci rezeki terletak kepada cara memanfaatkan rezeki itu ke arah kebajikan dan ganjarannya adalah rezeki yang melimpah ruah kerana menghormati dan mensyukuri pemberian Allah. Bukankah Allah SWT berfirman bermaksud: Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7)





No comments: