June 12, 2013

Ketakutan (Entri panjang)

Assalammualaikum w.b.t 


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.



Oleh kerana waktu Subuh adalah pada 3.50 pagi, biasanya aku tidur semula. Selalunya, aku bangun jam 630 - 645 pagi untuk keluar mandi. Tapi kebelakangan ini aku ter'automatik' bangun tepat 7.01 minit pagi. Baiklah.


Hendak dijadikan cerita pada satu pagi, aku hendak keluar dari bilik untuk menuju ke bilik mandi yang jaraknya hanya 5 tapak dengan bilik aku. Setelah siap menyarung tudung automatik sambil tangan penuh memegang segala-mala cecair mandi termasuk tuala, aku dikejutkan dengan lembaga besar tidak jauh dari pintu bilikku. 


"Bonjour.. Errr.. Excuse-moi..." kata lembaga tersebut. Kepalanya botak, kulitnya hitam (berbangsa Afrika) dan perutnya hampir mirip kepada perut Uncle Afdlin Shauki.


Hati aku berdebar-debar.


Lembaga itu lengkap bersut. Sambil menunjuk-nunjuk kemejanya yang renyuk (kurang jelas pagi itu kerana pengcahayaan kurang di kaki lima), dia memohon ingin meminjam seterika untuk menggosok bajunya.


"Sorry.. Sorry.. aku baru masuk semalam. Tak sempat beli seterika lagi." katanya


Timbul rasa kasihan aku kepadanya. Lalu aku masuk ke dalam bilik dan membawa keluar seterika kepunyaanku. Aku meminta padanya untuk tinggalkan sahaja di hadapan pintu bilikku.


Sepanjang minggu itu, ada sekali aku terfikir akannya, kasihan... baru mula belajar hidup di bumi asing.. fikir aku. Minggu itu, aku kerap ke dapur untuk memasak memandangkan aku banyak menerima tetamu (ada juga yang sudi bertamu di bilik kecil serba kurang ini). Beberapa kali itu jugalah aku selalu terserempak dengannya dan berbual-bual. Memang menjadi kebiasaan untuk jiran berbual sambil menunggu giliran menggunakan dapur elektrik. Pernah katanya, 'Wah, asyik nampak kau masak saja!'


Pada satu perbualan, tiba-tiba dia bertanya, "Kalau nak berkahwin dengan orang Muslim, perlu masuk Islamkah?" 


Aku, dengan sifat berkobar-kobar untuk becerita, pantas saja aku mengiyakan sambil menjelaskan pengecualian pada negara-negara tertentu seperti di Eropah dan Indonesia. Waktu itu, aku juga turut menanti soalan-soalan seterusnya seperti, 'Kenapa? Kristian tak perlu pun? Blablabla..' 


Tetapi tidak ada.


Pada satu pagi yang lain (Jumaat), aku telah terbangun lewat dari 7.01 pagi. Tetapi aku tidak gusar. Rutinku adalah mengambil keretapi jam 8.01 pagi atau 8.11 pagi atau paling lewat 8.21 pagi untuk aku tiba di pejabat antara 830 hingga 905 pagi. Jadi, oleh kerana terlewat, aku memutuskan untuk mengambil keretapi jam 8.21 pagi.


Ketika aku turun dari rumah, aku telah terserempak dengan lelaki itu lagi yang juga turut dalam perjalanan keluar dari bangunan tempat tinggal kami. Dia berkata, 'hari ini kau lewat ya?' Aku bingung dan menjawab, 'eh takdelah.' Tapi aku tidak berminat mengulas lebih lanjut tentang rutin jadual pagiku. Aku berasa agak pelik di hati, entah apa sebabnya, ketika itu aku kurang pasti. Tetapi aku biarkan saja. Kemudian kami berpisah selepas memasuki melepasi palang stesen keretapi.


Pada hari seterusnya pada minggu hadapan (Isnin lalu), aku membuat keputusan untuk ke tempat kerja sedikit awal. Jadi aku mahu mengambil keretapi pada jam 8.01 pagi, sedikit awal daripada Jumaat lepas. Ketika aku memasuki gerabak tengah, aku terkejut kerana aku tidak perasan akan kehadirannya di belakangku. Dia juga turut memasuki gerabak yang sama tetapi aku bertindak sedikit laju dengan mengambil tempat jauh sedikit darinya. Tetapi kejutan tidak berhenti setakat itu. Lihat plan keretapi RER A dibawah :




Setiap pagi, dari Poissy, aku terpaksa menukar arah di Nanterre Prefecture untuk ke tempat kerjaku di Rueil-Malmaison. Semua orang yang mengetahui hakikat ini akan menjadi hairan kerana 'itenary' ku dianggap ganjil dan menyusahkan diri. Anggapan mereka ini disahkan oleh pemerhatianku kerana bilangan orang yang menaiki keretapi dari arahku dan kemudian menukar ke arah tempat kerjaku, boleh dianggarkan hanya 3 per gerabak. TETAPI dalam kemungkinan yang kecil itu, pada hari itu, lelaki tersebut juga turut menaiki keretapi yang sama selepas pertukaran stesen!!!


Aku menjadi takut. Kerana memang jelas kelihatan, ketika menukar keretapi, selepas aku mengambil tempat dan menanti pintu keretapi tutup, aku terlihat kelibatnya yang berjalan perlahan-lahan sambil lewa seperti masa di dunia dia yang punya di platform. Tetapi sebaik saja dia ternampak aku, dia terus melompat ke dalam keretapi itu. Kami dipisahkan berpuluh-puluh kerusi. Nasib sahaja di stesen Rueil-Malmaison, memang berduyun-duyun manusia turun, lalu aku cepat-cepat menghilangkan diri di balik khalayak manusia. Pagi itu, aku menukar jalan untuk ke tempat kerja malah aku berhenti di pasaraya untuk membeli entah apa.


Hari ketiga (semalam), di Poissy, aku tidak ternampak kelibatnya. Hari itu, aku masih mengambil keretapi jam 8.01 minit. Tetapi di stesen Nanterre Prefecture aku terlihat kelibatnya lagi. Aku meniupkan kata-kata ketenangan dalam hati. Ah, mungkin memang benar kerjanya di bandar yang sama denganku. Walaupun aku masih ragu, kerana aku telah berusaha untuk tidak merutinkan waktu mengambil keretapi. Tetapi boleh pula secara kebetulan, setiap kali pun dia akan mengambil perjalanan yang sama! Kali ini, aku bertekad, aku mesti menyorok! Diam-diam aku memasuki gerabak yang sedikit jauh supaya dia berada di hadapanku dan dia tidak perasankanku. Sampai di stesen Rueil-Malmaison, aku berjalan lambat-lambat dan membiarkan dia keluar dari stesen dahulu.


Hari keempat (hari ini), oleh kerana aku masih ragu dan takut, aku berniat untuk mengambil keretapi jam 8.11 pagi memandangkan, dia pernah terserempak dengan ku di keretapi jam 8.01 pagi dan 8.21 pagi. Sedang aku bersiap untuk keluar, tiba-tiba aku terdengar derapan kasutnya di hadapan bilikku. Aku menyumpah seranah di dalam hati. 'Damn it!' Kenapa dia masih lagi berada di dalam bangunan? Bukankah sepatutnya dia telah keluar untuk mengejar keretapi 8.01 minit? Aku mengkakukan diri. Mendengar dengan teliti. Aku dengar tiba-tiba dia masuk ke dalam dapur (di sebelah bilik aku). Kedengaran bunyi kuali 'ktong ktong ktong..' diikuti bunyi peti sejuk dibuka. Jam telah menunjukkan pukul 8.05 pagi. 


Perlahan-lahan, aku memakai kasut dan sepantas kilat aku memutar kunci, keluar bilik, mengunci bilik dan sedikit berlari menuruni anak tangga sambil menjinjit satu beg pakaian, satu beg laptop dan beg tangan tergantung di bahuku. Tiba di tingkat bawah, telingaku menangkap derapan kasutnya yang turut menuruni anak tangga. Tekiyal-kiyal aku mencari anak kunci untuk membuka pintu di bawah. Aku melintas laju dan sampai di platform keretapi. Aku menoleh ke belakang tetapi tidak dapat melihat kelibatnya.


Tapi kuasa Tuhan, Allah Maha Besar, tiba-tiba aku teringat akan tiketku untuk ke Grenoble malam ini. Tak silap aku, aku telah menyelitkan tiket itu di dalam buku biru. Tetapi malam semalam, untuk mengurangkan berat beg pakaianku, aku telah meninggalkan buku biru itu di atas meja. Keretapi RER telah tiba di hadapanku. Terpaksa aku melepaskan keretapi tersebut untuk berpatah balik ke bilikku. 


Alhamdulillah, untuk hari ini, aku terlepas daripada diekori. Tambah pula, esok dan lusa aku tidak akan melalui rutin ke tempat kerja memandangkan aku berada di Grenoble untuk 'final presentation' ku. Entri panjang ini aku tulis di tempat kerjaku sebagai melepas rasa debar dalam hati. Debar kerana diekori, debar kerana cuak untuk 'final presentation' dan debar kerana hari esok bakal berlaku 'National strike' di seluruh France yang melambatkan aku untuk pulang ke Poissy.


Voilà. Aku terfikir untuk menukar rumah sekiranya minggu depan kejadian ini masih berterusan.


p/s : baca 'A'uzubi kalimatillahi tammat ti min syarrima kholaq' (aku berlindung pada kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan apa-apa yang diciptakan) ayat dari Al-Mathurat - pesanan dari Kak Reen.


p/s : doakan aku!!



2 comments:

warx said...

be safe..be careful..

fanramli said...

insyaallah.. huurmm...