October 15, 2011

arab spring

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




tanggal 23 Oktober depan, Tunisia, negara pertama yang telah menjadi pencetus revolusi kebangkitan negara-negara Arab beberapa bulan yang lalu akhirnya akan melangsungkan pilihanraya parlimentarinya yang pertama.


selama 54 tahun, rakyat republik tunisia telah ditekan oleh Habib Bourguiba dan Zinedine Ben Ali, kedua-duanya selaku pemerintah diktator. 14 januari 2011 telah mencatat sejarah apabila akhirnya Zinedine Ben Ali telah berjaya digulingkan.


"berapa banyak parti yang bertanding, my brother?" tanya aku kepada rakanku.


"lebih kurang 120 parti, Fansurina." aku terkesima. dia menyambung lagi, "sekarang, semua orang berlumba-lumba mahu menjadi sesuatu dalam pemerintahan." dia membelai-belai jambangnya sambil memandang itik-itik yang berkicau di taman mini universiti memisahkan perpustakaan cawangan dan barisan kelas.


matanya menyimpan seribu satu rasa. harapan, kekhuatiran, semangat, derita, semuanya menjadi satu.


Tunisia. satu kebangkitan yang aku kira begitu membanggakan. tanpa peperangan, tanpa senjata, hanya berbekalkan semangat bersatu-padu dan penderitaan yang disimpan berpuluh-puluh tahun sahaja, seorang diktator telah berjaya ditumpaskan.


kun fayakun. Jadilah, maka terjadilah. lalu, tanah yang dipenuhi dengan bangsa-bangsa bongkak telah Allah tiupkan dengan sekali tiupan, terhapus, ibaratnya seperti tidak pernah disentuh seincipun tanah itu. licin. tiada kesan.


seperti lagenda Mahsuri yang bersumpah dengan lelehan darah putihnya akibat fitnah. maka jadilah padang jarak padang terkukur selama 7 generasi. licin. tiada kesan.


begitulah Tunisia, licin. akhirnya kosong selepas kemusnahan yang bertalu-talu.


tetapi kini, inilah peluangnya! inilah masanya!


ruang telah terbuka untuk penggubalan satu sistem yang lebih baik. lalu, mereka begitu berhati-hati dalam setiap langkah. segalanya harus sempurna. tidak mahu lagi ditekan pemerintah zalim. tidak mahu mensia-siakan peluang keemasan yang satu ini. segalanya perlu strategi rapi.


harapan melangit. begitu tinggi hingga siapapun berada di bawah langitnya merasa begitu kerdil.


tanpa ia sedari, kekerdilan itu akhirnya membawa kepada satu kekaburan. harapan yang ramai telah membawa kepada kekeliruan. lalu akhirnya, kita panik.


aku memandang wajah-wajah kesayanganku, selaku saudara seagama. my sisters and my brother. sibuk membahas pandangan, selepas satu soalan yang aku lemparkan.


"kau undi siapa untuk pilihanraya parlimen kelak?"


ada seorang yang terlalu mahu melihat islam sebagai paksi dan prinsip pemerintahan walaupun diiringi cara yang sedikit tegas. seorang lagi yang terlalu mahu akan islam tetapi yang tidak memaksa tetapi mengalu-alukan. dan seorang lagi yang lebih moden, dipayungi perkataan 'islam moderasi' dan tidak mahu terikat.


nah, tiga orang di hadapan ku telah dengan lengkapnya mencerminkan ragam penganut islam hari ini. tetapi akarnya masih sama, di dalam kapilari mereka masih mengalirnya darah-darah manusia kental. darah tunisia.


tiba-tiba segalanya berhenti. suasana yang tadinya hingar menjadi sunyi. mereka telah berhenti berkata-kata. lalu masing-masing menghirup kopi masing-masing.


senyap. jeda.


saat itu, aku belajar sesuatu.


itulah cinta. itulah harapan. itulah semangat. itulah islam.


perlahan-lahan, aku menyusun perkataanku, "jom? kita masuk kelas. waktu pause dah habis."


dan kami berempat bingkas bangun, menyahut panggilan ilmu yang tergendala.






-ruang rehat, Université Joseph Fourier, Grenoble.



0 ulasan: