April 13, 2013

Tell me how to be a star, will you?

Assalammualaikum w.b.t


Alhamdulillah,segala puji untuk-Nya yang memberiku peluang bernafas sehari lagi di atas muka bumi-Nya.




gambar tidak ada kaitan dengan isi entry. haha.



Aku baru saja habis baca entri daripada The Rocking Hijab (Sandy Nur Farah Syakirah) tentang buli. ada satu ayat dia :


Whenever kids do something bad, you don't suspend or eliminate them. That won't work because obviously they would be elated to have such sentences, well, those who don't like going to school in the first place. 


emmm aku tak ingat kalau aku ada perasaan atau kesukaran untuk ke sekolah dulu. maksud aku, selain daripada zaman sekolah menengah aku (sebab duduk di sekolah asrama jadi hari-hari pun pergi sekolah). tapi masa kecil-kecil waktu aku masih lagi tinggal di Klang, aku fikir, aku selalu tak sabar untuk ke sekolah. rasanya la. aku tak ingat perasaan tak nak pergi sekolah tu. tapi aku selalu ingat perasaan tak nak pergi tadika Fazulina masa keluarga aku masih duduk kat rumah sewa di Taman Andalas satu waktu dulu. padahal, satu benda yang kau perlu tau, jarak tadika Fazulina dan rumah sewa kami masa tu hanya dipisahkan dua tiga buah rumah saja!


tapi bila tukar tadika, tadika Ria (di Teluk Pulai), aku ingat aku sangat-sangat dan lebih gembira. aku mudah pandai mengeja dalam bahasa melayu dan inggeris. masa tu, macam ada baca buku Peter & Jane Series. buku ni ada tingkatan pembacaan dia. maksudnya, kita mula dengan tahap 1A, lepas tu 1B, 1C lepas tu naik tahap 2A, 2B dan 2C pulak. dalam masa beberapa bulan, seingat aku, aku dah pun baca tahap 4 atau 5.


waktu tu, aku kecil lagi. masih tak mampu nak faham macam mana aku boleh berubah.


masa dekat Tadika Fazulina, secara logiknya, aku sepatutnya tak ada apa-apa masalah. dahlah tadika tu hanya beberapa tapak dari rumah sewa aku dan sekolah tu cikgunya majoriti adalah orang Melayu. kelasnya ada satu (rasanya) dan ada lebih kurang 20 kanak-kanak.


setiap pagi, cikgu akan putarkan satu lagu yang rancak dan sangat 'catchy' di pendengaran. lepas tu, kami akan menyanyikan lagu tu beramai-ramai sambil buat gerakan spesifik menggunakan seluruh anggota badan. tapi masalahnya, waktu tu, aku baru saja masuk ke tadika tu. aku tak tahu langsung lirik lagu tu, apatah lagi pergerakan-pergerakan dia. aku sangat ingat, bagaimana perasaan aku waktu tu. aku rasa sangat terpinga-pinga, takut dan rasa malu sampai rasa nak menangis. aku pandang kiri, kanan dan belakang, aku nampak semua orang sedang menyanyi. kecuali aku. jadi, aku pun pandang cikgu dekat depan, cuba cari kekuatan dari cikgu tu, cuba sampaikan dengan pandangan mata aku, bahawa aku sedang takut, dan aku perlukan dia untuk datang kepada aku untuk cuma berkata, 'tak apa kalau tak tahu lagu ni. nanti kita belajar ya.' atau satu senyuman daripada dia.


tapi tak ada. aku tak dipedulikan. malah, aku ingat, aku dapat pandangan dari cikgu tu, seolah-olah mengatakan, 'what a stupid kid she is' atau 'I don't care. ada ramai lagi budak perlu difikirkan.'


aku ingat lepas tu, aku selalu tak nak masuk kelas. biasanya waktu tengahari, kami akan diberi makan dan kami mesti tidur di ruang tamu rumah yang besar. kadang-kadang, aku berpura-pura tidur, pejamkan mata kuat-kuat bila ada orang datang kejut untuk sambung kelas. tapi kebanyakan masa, aku masih ingat imej di dalam kepala aku, cikgu itu selalu bertudung kuning, akan angkat rotannya dan BAMM, rotan tu memukul meja di hadapan ruang tamu sambil cikgu tu berteriak, 'diam! diam! tidur semua!' aku akan menyusup di celah-celah budak-budak yang lain dan cepat-cepat pejamkan mata sampai jam 5 petang, mama akan datang ambil aku.


so, tahun itu berlalu dan aku lebih suka duduk seorang diri di rumah daripada ditemani kanak-kanak yang lain. waktu itu, umur aku sudah 5 tahun tapi aku masih tak pandai mengeja apatah lagi membaca. setiap hari, aku akan menunggu di balik pintu dengan tak sabar, kepulangan mama, ayah, kakak dan terutama sekali abang aku. aku dan abang aku akan selalu keluar panjat pokok rambutan (ke pokok langsat) di halaman rumah. ada satu hari, waktu tu aku sedang di atas pokok bila ada jiran dan anaknya baru pulang dari tadika Fazulina. aku pun pandang ke bawah, menjerit dan melambai-lambai tangan kepadanya, 'hai!' kata aku. tapi aku ingat, aku sangat-sangat terkesima bila budak tu kata, "eeee budak tak pergi sekolah. mama tak kasi kawan lah!"


tapi segalanya berlainan bila akhirnya kami pindah dari rumah sewa itu dan akhirnya duduk di rumah sendiri, rumah teres 1 tingkat yang baru siap di Tepi Sungai.

aku ingat pada Miss Arthur, cikgu berbangsa india daripada tadika baruku, tadika Ria. Miss Arthur sangat baik dan bila bercakap denganku, pertuturannya penuh dengan lemah lembut. waktu itu, kami hanya 9 atau 10 orang di dalam satu kelas. aku pun mula belajar huruf dari A hingga Z. waktu itu umur aku sudah 6 tahun. walaupun sedikit lambat, tapi ia tak bermakna aku telah terlambat. alhamdulillah, segalanya berjalan dengan sangat lancar.


aku masih ingat waktu mewarna, cikgu akan keluarkan bekas berisi pensel berwarna untuk dikongsi. setiap orang akan ada giliran untuk menajamkan pensel berwarna. aku juga masih ingat, waktu itu aku sudah pandai mengeja nama aku sendiri. aku ingat ada seorang di sebelah aku cuba meniru apa yang aku tulis dan aku kata pada dia bahawa apa yang aku tulis adalah namaku dan bukan namanya. aku tanya sekiranya dia tahu mengeja. dia kata tidak. lalu aku beritahu cikgu untuk tolong dia tulis namanya.


tapi yang paling aku ingat, aku dapat pujian dari cikgu kerana aku pandai melukis buah rambutan. haha. sampai ada seorang budak, namanya Nazura, minta untuk melihat lukisan aku. dia menjeling dan kata 'eleh' dan beberapa lagi perkataan yang aku tak dengar kerana terlalu gembira dipuji cikgu.


lepas tu, aku ingat akan majlis graduasi kami. setiap dari kami mesti melakukan sekurang-kurangnya satu persembahan. aku telah dipilih untuk menari tarian asli melayu. aku berbaju kebaya merah dengan corak bunga warna kuning. aku dipilih juga untuk acara menyampaikan ucapan. ada seorang kanak-kanak cina dan melayu akan memberi ucapan dalam bahasa melayu manakala aku dan seorang kanak-kanak india ditugaskan memberi ucapan dalam bahasa inggeris. tentulah teks ucapan disediakan oleh para cikgu tapi cikgu hanya membacakannya dan kamilah yang menulisnya di atas kertas.


and with that, I ended my kindergarten year very proudly. I could spell my own name and many other things, I can count numbers, I drew rambutans very well, I could read Peter & Jane so quickly and I made a speech in English on our graduation ceremony. 


itulah sedikit sebanyak cerita aku. sebenarnya aku nak cerita pasal zaman sekolah rendah tapi tercerita pasal zaman tadika pulak. tapi aku harus bersyukur, dikurniakan zaman kecil sebegitu rupa. untuk aku, terbukti, setiap kanak-kanak adalah anugerah Allah. kalau kena caranya mendidik, menjadilah kanak-kanak tu. aku percaya, setiap apa yang keluar dari bibir kecil kanak-kanak, perlu kita dengar. tak ada perkataan terlambat.


aku bersyukur, mama dan ayah tak pernah paksa aku untuk ke tadika tu bila aku cerita, aku takut nak ke tadika tu. aku tahu, mama dan ayah, dengan sifat mereka yang tidak terlalu pandai untuk terlalu beramah-tamah dengan jiran, mesti dapat banyak 'cakap-cakap' melihatkan aku tak pergi tadika tapi lebih suka panjat pokok.


aku selalu simpan niat dalam diri, kelak, bila aku ada suami, aku mahu ambil tahu pengalaman kanak-kanaknya pula, ambil pro dan kontra. bila ada anak-anak sendiri nanti, aku akan berhati-hati dalam memilih tadika atau sekolah.


kalau Tuhan izinkan. amin..


p/s : ini pengalaman aku di Tadika Fazulina dulu-dulu. sekarang tak tahu macam mana. Insyaallah, moga lebih baik di sana hari ini.



No comments: